Proton e.MAS 7 PHEV Kini Rasmi – SUV PHEV Pertama Malaysia Dengan Jarak Pemanduan Lebih 1,000 KM Pada Harga Bermula RM105,800

February 5, 2026
Automotif

Lina Rosli

Proton kini secara rasminya hadir dengan Proton e.MAS 7 PHEV – model kereta yang menggabungkan dua sumber kuasa iaitu elektrik dan petrol pertama di Malaysia.

Berbeza dengan model e.MAS 7 sebelum ini, e.MAS 7 PHEV merupakan sebuah Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV) yang menawarkan fleksibiliti serta kecekapan untuk kegunaan harian dan perjalanan jarak jauh.

Untuk pengetahuan anda, model ini hadir dengan tiga varian berbeza iaitu Prime, Premium dan Premium Plus – yang mana ketiga-tiganya menggunakan enjin 1.5 liter empat silinder yang dibangunkan khusus untuk sistem hibrid.

Enjin ini menghasilkan 73 kW kuasa dan 125 Nm tork, dengan penggunaan bahan api yang cekap iaitu sekitar 4.3 liter bagi setiap 100 km. Apabila digabungkan dengan motor elektrik, Proton e.MAS 7 PHEV mampu mencapai jarak pemanduan keseluruhan sehingga 1,065 km (NEDC), manakala untuk penggunaan enjin elektrik sepenuhnya pula ia boleh mencapai jarak pemanduan sehingga 170km.

Menurut Proton, apa yang membezakan ketiga-tiga varian ini adalah dari segi penawaran bateri yang mana varian Prime dan Premium dilengkapi bateri berkapasiti 18.4 kWh yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 105 km (NEDC) menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya. Sementara itu, varian Premium Plus hadir dengan bateri lebih besar berkapasiti 29.8 kWh, membolehkan jarak pemanduan elektrik sehingga 170 km (NEDC).

Mengenai reka bentuk luaran e.MAS 7 PHEV pula, ia hadir dengan rekaan yang sedikit berbeza dengan model elektrik sepenuhnya. Perubahan yang paling ketara adalah pada rekaan lampu hadapan dan belakang yang menampilkan lampu jalur bersambung dan juga penggunaan rim yang tampak lebih ranggi sebesar 19-inci.

Sentuhan rekaan ini memberikan imej yang lebih moden dan futuristik, selari dengan penggunaan teknologi elektrifikasi. Elemen rekaan yang sama turut diterapkan pada lampu brek belakang, menjadikan keseluruhan penampilan kelihatan lebih kemas dan premium.

Dari segi pengecasan pula, varian Prime dan Premium menyokong pengecasan pantas DC sehingga 30 kW, dengan masa pengecasan dari 30 ke 80 peratus di bawah 20 minit. Varian Premium Plus pula menyokong pengecasan DC sehingga 60 kW, membolehkan pengecasan dari 30 ke 80 peratus diselesaikan dalam masa kurang 16 minit. Ketiga-tiga varian turut menyokong pengecasan AC 6.6 kW untuk kegunaan harian.

Model ini turut menawarkan tiga mod pemanduan iaitu Pure, Hybrid dan Power. Mod Pure membolehkan pemanduan menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya, memberikan pengalaman seakan memandu kenderaan elektrik sebenar. Mod Hybrid pula mengurus penggunaan enjin dan motor elektrik secara automatik bagi mendapatkan kecekapan terbaik, manakala mod Power memfokuskan kepada prestasi dengan penghantaran kuasa yang lebih agresif.

Pada bahagian sistem inforia pula, e.MAS 7 PHEV dilengkapi skrin sentuh bersaiz 15.4 inci dengan resolusi 2.5K menjadi pusat kawalan utama, dikuasakan oleh Flyme Auto OS serta menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.

Dari aspek praktikaliti, ruang but belakang menawarkan kapasiti 528 liter, lengkap dengan ruang simpanan tambahan di bawah lantai. Apabila tempat duduk belakang dilipat, kapasiti ruang simpanan boleh ditingkatkan sehingga 2,065 liter, menjadikannya sesuai untuk kegunaan keluarga dan aktiviti harian.

Apa yang lebih menarik pada e.MAS 7 PHEV juga, ia dilengkapi dengan ciri ADAS yang praktikal untuk kegunaan harian seperti Lane Keep Assist, Forward Collision Warning, Lane Departure Warning, Automatic Emergency Brake dan lain-lain. Bukan sekadar itu, selari dengan peningkatan kes kanak-kanak dan haiwan peliharaan terperangkap di dalam kereta, Proton turut memperkenalkan ciri pintar Occupant Detection Alert yang mana kereta akan mengesan sekiranya terdapat individu yang berada di dalam kereta sewaktu enjin dimatikan dan akan membunyikan hon sebagai tanda amaran.

Secara keseluruhan, Proton e.MAS 7 PHEV tampil sebagai sebuah SUV yang seimbang dari segi prestasi, kecekapan dan praktikaliti, sekali gus membuka lembaran baharu dalam segmen PHEV di Malaysia.

Bagi yang berminat, tempahan untuk model ini telah dibuka dengan anggaran harga pasaran bermula RM109,800 untuk varian Prime, manakala RM123,800 untuk varian Premium dan RM129,800 untuk varian Premium Plus.

Bersempena dengan pelancaran model ini, Proton turut mengumumkan yang mana mereka akan memberikan rebat sebanyak RM4,000 untuk 5,000 pembeli terawal bagi mana-mana varian.

Selain itu, Proton juga turut mengumumkan waranti bagi setiap pembelian iaitu waranti kenderaan selama 6 tahun (tanpa had perbatuan) dan 8 tahun atau 160,000km untuk waranti komponen dan juga bateri.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd