Tempahan Untuk PROTON S70 2026 Dibuka Bermula 7 Februari

February 6, 2026
Automotif

Lina Rosli

PROTON hari ini mengumumkan bahawa PROTON S70 2026 kini mula dipamerkan untuk pratonton awal di bilik pameran sah PROTON 3S dan 4S di seluruh negara.

Selari dengan itu juga, tempahan rasmi bagi model terbaharu ini akan dibuka kepada orang ramai bermula 7 Februari 2026, menjelang pelancaran rasminya pada 11 Februari akan datang.

Sejak diperkenalkan, PROTON S70 telah menerima sambutan pasaran yang memberangsangkan dengan lebih 38,000 unit terjual, menjadikannya antara pilihan popular dalam kalangan pembeli kereta pertama serta pemilik kenderaan yang ingin menaik taraf, khususnya daripada golongan muda.

Kemaskini Baharu Pada PROTON S70 2026

Dari segi prestasi, PROTON S70 2026 dikuasakan oleh enjin i-GT 1.5 liter turbo yang dipadankan dengan transmisi automatik 7-kelajuan DCT. Gabungan ini menghasilkan kuasa 181PS dan tork 290Nm, membolehkan pecutan dari 0 hingga 100 km/j dicapai dalam masa 7.5 saat.

Selain itu, PROTON turut menawarkan teknologi kecekapan bahan api pada kadar 5.7 liter bagi setiap 100 kilometer – ini secara tidak langsung menawarkan keseimbangan antara prestasi dan penggunaan harian yang praktikal.

Bukan itu sahaja, penampilan luaran sedan ini turut dipertingkatkan dengan kehadiran lampu hadapan LED bersama lampu nyalaan siang hari (DRL), rim aloi baharu bersaiz 17 inci serta kit aerodinamik yang dikemas kini.

Di bahagian dalaman, kemasan kabin hitam dengan sentuhan lebih kemas mewujudkan suasana moden dan berorientasikan pemandu, selari dengan karakter sporty model ini.

Untuk sistem inforia pula, ia dilengkapi skrin bersaiz 12.3 inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto secara nirwayar. Ia turut menawarkan ciri interaksi suara pintar serta sistem sambungan dalam kenderaan yang dipertingkatkan direka untuk memudahkan penggunaan dan meningkatkan pengalaman pemanduan secara keseluruhan.

Menurut PROTON juga, untuk PROTON S70 ini, ia hadir dengan 13 ciri Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2.

Antara fungsi utama termasuk Autonomous Emergency Braking (AEB), Lane Keep Assist (LKA) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA), yang berfungsi bersama sistem keselamatan aktif lain bagi meningkatkan kesedaran pemandu serta ketenangan fikiran di jalan raya.

Bagi yang berminat, tempahan untuk model ini akan dibuka secara rasmi bermula 7 Februari 2026. Pelanggan boleh membuat tempahan awal dengan bayaran RM500 di mana-mana bilik pameran sah PROTON 3S atau 4S di seluruh negara.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd