Lebih 200 Gerai Bazaar Ramadan Putrajaya Kini Boleh Diakses Melalui foodpanda

February 20, 2026
Aplikasi

Lina Rosli

Bagi anda yang ingin ke bazar Ramadan namun tidak ingin bersesak-sesak di kawasan yang padat, kini foodpanda dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya memperkenalkan inisiatif perintis yang membolehkan lebih 200 gerai Bazaar Ramadan Presint 3 Putrajaya diakses terus melalui aplikasi foodpanda, bermula 19 Februari hingga 20 Mac 2026.

Dengan kehadiran inisiatif ini, orang ramai kini boleh menikmati juadah bazaar kegemaran tanpa perlu bersesak di tapak bazar.

Berdasarkan perkongsian, pengguna boleh meneroka pelbagai pilihan hidangan popular seperti nasi lemak, nasi dagang, ayam goreng rangup serta aneka kuih tradisional menerusi seksyen khas “Ramadan Bazaar” di aplikasi.

Selain memberi kemudahan kepada pengguna, inisiatif ini turut membuka saluran jualan tambahan kepada peniaga bazaar Ramadan.

Dengan platform digital, peniaga dapat menjangkau pelanggan baharu, sekaligus menyokong kelangsungan perniagaan kecil dan sederhana sepanjang musim perayaan.

Bagi memastikan kesegaran makanan, petugas khas akan membuat pembelian terus daripada gerai sebaik sahaja pesanan disahkan. Pengguna boleh menjangkakan tempoh penghantaran sekitar 40 hingga 50 minit, menjadikan pengalaman berbuka puasa lebih praktikal dan lancar.

Untuk membuat pesanan, pengguna hanya perlu membuka aplikasi foodpanda, memilih tab “Ramadan Bazaar”, menelusuri menu yang tersedia, dan membuat pembayaran sebelum menunggu pesanan dihantar terus ke pintu rumah.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd