Honda CR-V 2026 Kini Dengan Dua Varian e:HEV 2.0L – Harga Jualan Bermula RM178,200

March 3, 2026
Automotif

Lina Rosli

Honda Malaysia secara rasmi memperkenalkan model terbaru untuk model SUV popular mereka, Honda CR-V yang kini hadir dalam dua varian baharu – iaitu e:HEV E dan e:HEV RS. Pengenalan ini merupakan pencapaian penting bagi jenama mereka dalam memperluaskan varian hibrid mereka ke lebih banyak model kenderaan lagi.

Untuk varian hibrid ini, Honda menawarkan enjin e:HEV 2.0L, yang menghasilkan 184PS dan 335Nm tork.

Dari segi mod pemanduan, Honda CR-V e:HEV ini dilengkapi dengan 3 mod pemanduan yang akan ditukar secara automatik iaitu – pemanduan EV, pemanduan hibrid dan juga pemanduan enjin. Dengan ini, ia secara tidak langsung, akan mengoptimumkan penggunaan tenaga mengikut keadaan pemanduan sebenar.

Bukan itu sahaja, untuk pengalaman pemanduan yang lebih diperibadikan, varian e:HEV turut menampilkan Individual Drive Mode, membolehkan pemandu menyesuaikan dinamik pemanduan mengikut citarasa mereka.

Model baharu CR-V menerima penambahbaikan pada luaran dan dalaman, meningkatkan daya tarikan premium sambil mengekalkan fungsi praktikal dan keselamatan.

Varian ini memperkenalkan pilihan warna baharu yang menawan iaitu Blazing Red Pearl, dan apa yang menarik juga, kesemua varian kini dilengkapi dengan Honda Authorised Solar and Security tint film oleh ECOTINT untuk keselesaan dan perlindungan yang lebih baik.

Varian hibrid menampilkan rim aloi 18-inci Berlina Black, manakala varian turbocharged dilengkapi rim aloi 18-inci Sparkle Silver, membezakan personaliti masing-masing.

Kabin varian e:HEV RS kini menampilkan kemasan hairline film gelap pada papan pemuka dan tempat duduk berlogo RS, menekankan karakter sporty dan premium untuk model Honda CR-V ini. Ia turut menampilkan versi Modulo yang boleh didapatkan pada harga RM5805.

Bukan itu sahaja, Honda CR-V hibrid ini turut dilengkapi pelbagai teknologi terkini yang memberi fokus kepada keselamatan dan keselesaan pemanduan. Antara ciri yang ditawarkan termasuklah:

  • Sistem Advanced Display Audio 9-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto secara nirwayar, membolehkan pemandu mengakses panggilan, muzik dan mesej dengan lebih mudah tanpa kabel. Sistem ini juga hadir dengan integrasi dengan Google Audio Services seperti Google Maps untuk navigasi masa nyata, Google Assistant untuk arahan suara, serta akses aplikasi melalui Google Play.
  • Ciri Kunci Digital pula membolehkan pemilik membuka dan mengunci kenderaan, serta menghidupkan enjin menggunakan telefon pintar. Selain itu, fungsi seperti menutup tingkap dari jauh dan membuka atau menutup pintu but belakang juga boleh dilakukan melalui aplikasi Honda CONNECT, menjadikan pengalaman pemilikan lebih praktikal dan moden.
  • Sistem Blind Spot Information (BSI) membantu meningkatkan keyakinan ketika menukar lorong dengan mengesan kenderaan di kawasan titik buta sebelah belakang. Jika terdapat kenderaan di kawasan tersebut, lampu amaran akan menyala pada cermin sisi sebagai peringatan kepada pemandu.
  • Sistem Cross Traffic Monitor (CTM) amat berguna ketika mengundur keluar dari petak parkir yang sempit. Sistem ini mengesan kenderaan yang menghampiri dari kiri atau kanan di bahagian belakang dan akan memberi amaran awal supaya pemandu dapat bertindak dengan lebih selamat.

Bagi yang berminat, Honda CR-V e:HEV 2.0L kini sudah boleh mula dipra-tempah pada harga bermula RM178,200 untuk varian E dan RM195,900 untuk varian RS.

Dengan perluasan pilihan hibrid dan penambahbaikan menyeluruh, Honda Malaysia yakin CR-V baharu akan terus menetapkan penanda aras dalam segmen C-SUV.

Model ini kini boleh dilihat dan diuji pandu di semua pengedar sah Honda. Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi talian bebas tol Honda di 1-800-88-2020 atau layari www.honda.com.my.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd