PROTON Catat 13,566 Unit Jualan Pada Februari 2026

March 5, 2026
Automotif

Lina Rosli

Selepas mencatat jualan tertinggi dalam tempoh 15 tahun pada Januari lalu, PROTON terus mengekalkan momentum positif pada Februari 2026 – yang mana ia mencatatkan sebanyak 13,566 unit kenderaan berjaya dijual.

Walaupun angka ini menunjukkan penurunan 31% berbanding Januari, ia mencatat peningkatan 20.8% berbanding Februari 2025. Secara keseluruhan, jualan terkumpul bagi dua bulan pertama tahun ini mencecah 33,399 unit, meningkat 57.9% berbanding tempoh sama tahun lalu.

Untuk pengetahuan anda juga, Jumlah Volum Industri (TIV) pula dianggarkan menurun sebanyak 17.6% kepada 52,996 unit, disebabkan gangguan aktiviti pendaftaran kenderaan ketika pertengahan Februari. Susulan itu, pegangan pasaran PROTON bagi bulan tersebut dianggarkan sekitar 25.6%, manakala pegangan pasaran tahun ke tarikh (YTD) kini berada pada 28.5%.

Proton Saga Kekal Sebagai Model Paling Laris

Selain itu, Proton Saga terus membuktikan kedudukannya sebagai model paling laris di Malaysia. Selepas mencatat jualan bulanan tertinggi dalam sejarahnya pada Januari, model ini merekodkan lagi 6,047 unit pada Februari.

Ini menjadikan jumlah jualan YTD Saga sebanyak 16,332 unit, meningkat 69.8% berbanding tahun lalu dan masih mengekalkan statusnya sebagai peneraju pasaran.

Prestasi kukuh ini turut dipacu oleh pelancaran lima model baharu dalam tempoh lima bulan yang merangkumi kenderaan elektrik (EV), enjin pembakaran dalaman (ICE) dan hibrid plug-in (PHEV). Pengenalan model-model ini menyumbang secara langsung kepada peningkatan jualan keseluruhan PROTON pada awal tahun ini.

Proton X50 Dan Proton S70 Turut Memperlihatkan Prestasi Jualan Yang Stabil

Proton X50 versi terkini yang diperkenalkan pada Julai 2025 terus mencatat prestasi stabil dalam segmen SUV-B. Model ini merekodkan 1,842 unit pada Februari, menjadikan jumlah jualan YTD sebanyak 4,271 unit, meningkat 31.1% berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sementara itu, Proton S70 turut menunjukkan peningkatan ketara. Sebanyak 1,940 unit didaftarkan pada Februari, menjadikan jumlah jualan YTD sebanyak 3,544 unit, meningkat 51.5% berbanding tahun lalu. Model ini merupakan penyumbang kedua tertinggi kepada jumlah jualan PROTON bagi bulan tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, Dato’ Ir. Abdul Rashid Musa berkata, PROTON memulakan 2026 dengan prestasi yang kukuh hasil permintaan berterusan terhadap barisan model baharu syarikat. Dalam masa sama, usaha menambah baik pengalaman pelanggan di bilik pameran dan pusat servis terus menjadi keutamaan.

Tambah PROTON juga, kini fokus jenama ini adalah untuk mengurangkan tempoh menunggu pelanggan dengan meningkatkan kadar pengeluaran dan penghantaran setiap bulan tanpa menjejaskan kualiti produk.

Pelaburan yang dibuat di Tanjong Malim juga diyakini mampu membantu memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd