Mengapa Beras Perlu Dibasuh Sebelum Dimasak?
Lina Rosli
Bagi kebanyakan orang, membasuh beras sebelum dimasak adalah satu langkah biasa di dapur. Namun, ada juga yang tertanya-tanya sama ada langkah ini benar-benar perlu atau sekadar kebiasaan turun-temurun.
Menurut pandangan chef profesional, membasuh beras memang memberi kesan kepada tekstur dan hasil akhir nasi, tetapi ia tidak semestinya wajib untuk semua jenis hidangan.

Secara umum, beras merupakan produk pertanian yang melalui beberapa peringkat pemprosesan sebelum sampai kepada pengguna. Ketika proses ini, terdapat kemungkinan habuk halus atau sisa kecil daripada pemprosesan melekat pada permukaan bijirin. Oleh sebab itu, ramai pakar masakan menyarankan agar beras dibilas terlebih dahulu sebelum dimasak.
Pakar turut menjelaskan bahawa membasuh beras membantu menyingkirkan habuk serta kanji berlebihan pada permukaan beras. Kanji inilah yang sering menyebabkan nasi menjadi terlalu melekit atau bergumpal ketika dimasak. Dengan membilas beras, setiap bijirin dapat masak secara berasingan dan hasilnya, ia menjadikan nasi yang lebih gebu dan ringan.

Dalam hidangan tertentu seperti sushi, langkah ini dianggap penting. Beras sushi biasanya perlu dibasuh terlebih dahulu bagi memastikan teksturnya tidak terlalu melekit sehingga menyukarkan proses membentuk sushi atau gulungan maki.
Asia Timur Dan Teknik Cucian Beras
Proses membasuh beras sebenarnya sangat mudah dan hanya mengambil masa beberapa minit. Biasanya, beras dimasukkan ke dalam pot nasi dan dibilas di bawah air sejuk sambil digaul perlahan dengan tangan sehingga air bilasan kelihatan jernih. Kaedah ini membantu menyingkirkan lebihan kanji pada permukaan beras.
Selain itu, terdapat amalan lain yang turut dipraktikkan oleh kebanyakan oleh kebanyakan orang Asia Timur – iaitu membiarkan beras yang telah dibasuh berehat selama kira-kira 20 hingga 30 minit sebelum dimasak.
Langkah ini membolehkan kelembapan meresap secara sekata ke dalam bijirin beras, sekaligus membantu proses memasak menjadi lebih sekata dan memberikan tekstur nasi yang lebih baik.

Tidak Semua Beras Perlu Dibasuh Sebelum Masak
Walau bagaimanapun, tidak semua jenis hidangan memerlukan beras dibasuh terlebih dahulu. Dalam masakan seperti risotto atau paella, kanji pada beras sebenarnya diperlukan untuk menghasilkan tekstur yang lebih berkrim dan pekat. Oleh itu, beras biasanya tidak dibilas sebelum dimasak untuk hidangan seperti ini.
Selain itu, beras yang dijual dalam bentuk campuran perasa atau hidangan segera juga tidak digalakkan untuk dibasuh kerana bahan perasa yang telah ditambah mungkin akan hilang semasa proses membilas.

Begitu juga dengan beras yang diperkaya nutrien atau dilabel sebagai “no rinse” atau “no wash”, kerana ia telah diproses khas dan tidak memerlukan bilasan tambahan.
Secara ringkasnya, membasuh beras sebelum memasak boleh membantu menghasilkan nasi yang lebih gebu dan tidak bergumpal.
Namun, ia bergantung kepada jenis beras dan hidangan yang ingin disediakan. Jika terlupa untuk membasuh beras, nasi masih boleh dimasak seperti biasa, cuma hasil teksturnya mungkin sedikit berbeza.