myFirst Melancarkan Insta Lux Dan Gajet Mesra Kanak-Kanak Di Malaysia

March 13, 2026
Gajet Dan Teknologi

Lina Rosli

Dalam era digital hari ini, kanak-kanak semakin terdedah kepada teknologi sejak usia muda. Telefon pintar, kamera digital dan platform komunikasi sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian keluarga moden.

Namun begitu, persoalan yang sering dibangkitkan oleh ibu bapa ialah bagaimana teknologi boleh digunakan dengan lebih selamat serta memberi nilai pembelajaran dan kreativiti kepada kanak-kanak.

Selari dengan keperluan ini, jenama teknologi kanak-kanak dari Singapura, myFirst, memperkenalkan pendekatan baharu melalui pelancaran kempen “Explore Together”.

Pada 12 Mac 2026 di Kuala Lumpur, myFirst melancarkan rangkaian produk generasi baharu yang direka khusus untuk membantu kanak-kanak meneroka teknologi secara selamat, kreatif dan dalam masa yang sama mengukuhkan hubungan kekeluargaan.

Pelancaran ini turut memperkenalkan kamera cetak segera berwarna terbaharu jenama tersebut, myFirst Insta Lux, bersama beberapa peranti lain dalam ekosistem teknologi kanak-kanak myFirst.

myFirst Insta Lux – Kamera Cetak Segera Khusus Untuk Kanak-Kanak

Menurut myFirst, pendekatan jenama ini bukan untuk mengurangkan penggunaan teknologi dalam kalangan kanak-kanak, sebaliknya memastikan teknologi tersebut direka dengan tujuan yang jelas.

Produk utama yang menjadi tumpuan ialah myFirst Insta Lux yang dijual pada harga RM799. Kamera ini direka khusus berdasarkan cara kanak-kanak hari ini merakam dan berkongsi pengalaman mereka. Ia dilengkapi kamera hadapan dan belakang 5MP, paparan IPS bersaiz 2.8 inci untuk memudahkan pembingkaian gambar serta sambungan WiFi.

Melalui aplikasi myFirst Circle, ibu bapa juga boleh menghantar gambar daripada telefon pintar mereka secara terus ke kamera untuk dicetak.

Berbeza dengan kamera cetak segera biasa yang hanya menumpukan kepada fungsi mengambil gambar, myFirst Insta Lux menggunakan teknologi cetakan dye-sublimation yang menghasilkan foto berwarna dengan kualiti lebih terang dan tahan lama.

Kamera ini turut menyediakan pelbagai fitur dan bingkai kreatif yang membolehkan kanak-kanak mengekspresikan cerita visual mereka sendiri.

Ia menyokong storan sehingga 64GB, menggunakan pengecasan USB-C serta direka dengan bentuk ergonomik yang sesuai untuk tangan kecil kanak-kanak.

Aplikasi myFirst Circle – Ruang Perkongsian Digital Peribadi

Bagi menyokong penggunaan teknologi yang lebih selamat, myFirst Insta Lux dihubungkan dengan aplikasi myFirst Circle. Aplikasi ini berfungsi sebagai ruang perkongsian digital peribadi yang diuruskan oleh keluarga.

Melaluinya, ibu bapa boleh menghantar foto terpilih, berkomunikasi serta berkongsi detik harian tanpa perlu menggunakan platform sosial terbuka.

Pendekatan ini membolehkan kanak-kanak berinteraksi secara digital dalam persekitaran yang lebih terkawal dan selamat.

Ekosistem myFirst – Turut Hadir Dengan Jam Tangan Pintar, Tablet Lukisan Digital

Selain kamera baharu tersebut, myFirst turut memperkenalkan beberapa produk lain yang melengkapkan ekosistem teknologinya.

Antaranya ialah myFirst Fone M1 (RM399), sebuah jam tangan telefon pintar dengan sambungan 4G yang menawarkan fungsi panggilan suara, panggilan video serta penjejakan GPS masa nyata.

Peranti ini direka bagi membantu ibu bapa kekal berhubung dengan anak-anak sambil memperkenalkan komunikasi digital secara lebih selamat.

Turut diperkenalkan ialah myFirst Frame Clario (RM499), bingkai gambar pintar bersaiz 7 inci yang membolehkan keluarga berkongsi foto dan membuat panggilan video sekali sentuh. Ia juga dilengkapi fungsi soundscape ambien yang boleh disesuaikan untuk mewujudkan suasana lebih tenang di rumah.

Bagi menggalakkan kreativiti kanak-kanak, myFirst turut menawarkan myFirst Sketch Board Pro (RM199), sebuah tablet lukisan digital ringan yang membolehkan kanak-kanak melakar idea secara mudah tanpa gangguan aplikasi lain.

Selain itu, terdapat juga myFirst CareBuds Max (RM169), fon kepala nirwayar over-ear yang direka khas untuk telinga kanak-kanak dengan had volum pintar antara 85 hingga 94 desibel bagi melindungi pendengaran mereka.

Satu lagi produk kreatif yang diketengahkan ialah myFirst 3dPen Make Creator Kit (RM299). Set ini merangkumi pen 3D, pek model bertema dan filamen PCL yang membolehkan kanak-kanak menghasilkan bentuk tiga dimensi secara selamat.

Peranti ini menggunakan suhu rendah yang sesuai untuk penggunaan kanak-kanak serta telah diperakui dengan Tanda Pematuhan Malaysia (MC) bagi keselamatan mainan.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan rangkaian produk dari myFirst ini, ia kini boleh didapati di pengedar sah terpilih Aeco Technologies, atau di rangkaian runcit seperti Popular, TMT dan allIT.

Untuk myFirst Insta Lux serta keseluruhan rangkaian “Explore Together” kini boleh didapati melalui laman web rasmi myFirst serta platform e-dagang Shopee dan Lazada.

Selari dengan pengenalan produk baharu mereka, myFirst turut melancarkan pembukaan kedai konsep mereka yang tersendiri di dua lokasi di sekitar Lembah Klang iaitu di Sunway Pyramid dan juga IOI City Mall.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd