Menicon Melancarkan Kanta Lekap Miru Di Malaysia – Tampil Tiga Pilihan Sesuai Gaya Hidup Moden

March 17, 2026
Gaya Hidup

Lina Rosli

Menicon Group secara rasmi memperkenalkan rangkaian kanta lekap Miru di Malaysia menerusi majlis pelancaran yang berlangsung di The Starhill. Pelancaran ini turut bersempena sambutan ulang tahun ke-75 syarikat tersebut – yang mana ia menandakan satu lagi langkah penting dalam pengembangan pasaran mereka di rantau ini.

Bagi yang tidak mengetahui, Menicon telah ditubuhkan sejak tahun 1951, dan dikenali sebagai pengeluar kanta lekap pertama dan terbesar di Jepun, dengan falsafah ‘Creation, Originality, Challenge’ yang menjadi teras kepada inovasi mereka dalam bidang penjagaan penglihatan.

Menurut Menicon, pengenalan Miru di Malaysia dilihat selari dengan peningkatan permintaan terhadap produk yang lebih praktikal, mudah digunakan dan sesuai dengan gaya hidup aktif masyarakat hari ini.

Melalui pelancaran ini, Miru tampil dengan tiga pilihan kanta lekap jernih yang direka untuk memenuhi keperluan berbeza pengguna.

  • Miru 1day UpSide memberi fokus kepada keselesaan dan kebersihan semasa pengendalian, menjadikannya sesuai untuk pemakaian harian yang lebih lama sama ada ketika bekerja, bersosial atau menjalani rutin harian.
  • Miru 1day Flat Pack pula mengetengahkan pembungkusan kompak dan nipis yang mudah dibawa, sesuai untuk mereka yang sering bergerak atau kerap melakukan perjalanan.
  • Miru 1 Month menawarkan pilihan penggantian bulanan yang praktikal untuk dijadikan sebahagian daripada rutin harian.

Secara keseluruhannya, rangkaian Miru dibangunkan berasaskan konsep yang ringkas — kanta lekap jernih yang mampu disesuaikan dengan kehidupan moden selain turut membantu pengguna menjalani aktiviti harian dengan lebih selesa dan yakin.

Selain itu, Menicon turut merancang untuk memperkukuh kehadirannya di Malaysia dengan pembinaan kemudahan pembuatan baharu di Kulim Hi-Tech Park melibatkan pelaburan diluluskan sebanyak RM1 bilion.

Fasiliti ini dijangka menjadi antara tapak pembuatan paling canggih Menicon di peringkat global, dengan integrasi operasi pengeluaran, logistik, pergudangan dan kawalan kualiti dalam satu ekosistem digital yang menyokong penghasilan kanta lekap silikon hidrogel.

Bagi yang berminat, rangkaian Miru kini boleh didapati di kedai optik terpilih serta melalui pakar penjagaan mata bertauliah di seluruh negara.

Harga runcit yang disyorkan bermula sekitar RM150 hingga RM180 bagi kanta pakai buang harian, manakala pek pemakaian sebulan penuh ditawarkan antara RM300 hingga RM360, bergantung kepada keperluan pengguna.

Untuk pengetahuan anda, semua produk Menicon juga telah berdaftar di bawah Akta 737 serta dikawal selia oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd