PROTON Lancar Kempen Servis Nasional – Sasar Pemilik Kenderaan Kembali Selenggara Di Pusat Bertauliah

March 30, 2026
Automotif

Lina Rosli

PROTON mengumumkan pelancaran kempen servis peringkat kebangsaan yang berlangsung dari 30 Mac hingga 30 Jun 2026, bertujuan menggalakkan pemilik kenderaan kembali ke pusat servis bertauliah untuk menjalankan penyelenggaraan berkala.

Kempen ini memberi fokus kepada kenderaan yang telah lama tidak diservis, khususnya model PROTON yang didaftarkan antara Januari 2018 hingga Januari 2021 dan tidak mempunyai rekod servis melebihi 12 bulan.

Melalui kempen ini, pemilik boleh menikmati pakej servis asas yang merangkumi penukaran minyak enjin, penapis minyak, kos upah serta pemeriksaan keselamatan percuma melibatkan 40 titik penting.

Untuk pemeriksaan keselamatan pula, ia melibatkan pemeriksaan komponen utama seperti sistem brek, tayar dan keadaan bateri bagi memastikan kenderaan berada dalam keadaan selamat untuk digunakan.

Harga pakej bermula serendah RM120 bagi model seperti Persona, Iriz, Exora dan Saga yang menggunakan minyak enjin separa sintetik.

Bagi model siri X pula, pakej servis ditawarkan bermula dari RM216.

Tingkatkan Kualiti Perkhidmatan Selepas Jualan

Dalam usaha memperkukuh pengalaman pelanggan, PROTON kini mempunyai rangkaian sebanyak 190 pusat servis bertauliah serta 77 pusat Body & Paint di seluruh negara.

Rangkaian ini disokong oleh tenaga kerja terlatih serta pusat alat ganti yang ditempatkan secara strategik bagi memastikan akses lebih pantas kepada alat ganti tulen.

Sebagai tambahan, PROTON turut memperkenalkan inisiatif baharu iaitu Service Experience QR (SEQR), yang membolehkan pelanggan berkongsi maklum balas mengenai pengalaman servis melalui borang digital yang disediakan di pusat servis. Langkah ini bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan secara berterusan berdasarkan maklum balas pengguna.

Selain itu, beberapa inisiatif sedia ada turut ditawarkan termasuk perkhidmatan Fast Service yang membolehkan servis asas disiapkan dalam tempoh sekitar 90 minit, serta ProCare Smart Plan (PSP) yang menyediakan pilihan pelan penyelenggaraan dengan bayaran fleksibel.

Bukan itu sahaja, PROTON juga menyediakan perkhidmatan Body & Paint bersama Proton Insurance Programme (PIP) bagi memenuhi keperluan pembaikan kenderaan, selain menawarkan bantuan tepi jalan 24 jam melalui talian khas mereka.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd