Honda Malaysia Buka Tempahan Untuk Model Prelude Baharu – Hadir Dengan Teknologi S+ Shift
Lina Rosli
Honda Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya dalam mobiliti elektrifikasi dengan pelancaran kempen “Hybrid Done Right” yang mana pengenalan ini menandakan pendekatan baharu dalam gabungan prestasi, kecekapan dan kebolehpercayaan teknologi hibrid.
Berteraskan lebih dua dekad pengalaman dalam pembangunan sistem hibrid, teknologi e:HEV yang dibawakan oleh Honda kini tampil sebagai solusi moden yang bukan sahaja efisien, tetapi memberi fokus kepada keseimbangan antara prestasi dan kecekapan tanpa mengorbankan pengalaman pemanduan.

Sistem ini direka untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi pemanduan melalui peralihan pintar antara mod elektrik, hibrid dan enjin, bagi memastikan prestasi optimum dalam setiap keadaan di samping turut menawarkan pecutan responsif, tork segera serta pemanduan yang lancar dan selesa.
Buat masa ini, rangkaian model dengan sistem e:HEV merangkumi model popular seperti Honda City, Honda City Hatchback, Honda HR-V, Honda Civic dan Honda CR-V, memperkukuh kehadiran Honda dalam segmen hibrid tempatan.
Sokongan rangkaian servis yang meluas serta ketersediaan alat ganti turut memberikan nilai pemilikan yang lebih meyakinkan kepada pengguna.
Honda Malaysia Memperkenalkan Model Prelude Baharu
Dalam perkembangan sama, Honda Malaysia turut mengumumkan pembukaan tempahan bagi model All-New Prelude, yang dijangka dilancarkan pada suku kedua 2026. Model ini merupakan kemunculan semula nama ikonik Prelude dan menjadi sports coupe hibrid e:HEV pertama dalam sejarah Honda Malaysia.
Prelude baharu ini turut memperkenalkan teknologi S+ Shift, pertama kali ditawarkan dalam barisan model Honda di Malaysia.

Digabungkan dengan sistem Active Sound Control, teknologi ini mensimulasikan pertukaran gear serta meningkatkan respons enjin melalui koordinasi tepat antara enjin dan dua motor elektrik. Hasilnya, pemanduan menjadi lebih dinamik dengan tindak balas pendikit yang lebih tajam serta kawalan yang lebih tepat.
Dari segi prestasi, model ini dijana oleh enjin 2.0L e:HEV yang mampu menghasilkan sehingga 184 PS dan 315 Nm tork, memberikan pecutan segera, penghantaran kuasa yang linear serta pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan.

Reka bentuk luaran pula menampilkan gaya moden dengan siluet elegan sebuah sports coupe. Dengan ukuran panjang 4,522 mm, lebar 1,880 mm dan tinggi 1,355 mm serta jarak roda 2,605 mm, Prelude baharu ini menampilkan keseimbangan antara estetika dan fungsi, sesuai dengan identitinya sebagai model prestasi dalam era elektrifikasi.
Pelancaran ini mencerminkan komitmen berterusan Honda Malaysia dalam memperkenalkan teknologi hibrid yang bukan sahaja praktikal dan efisien, tetapi juga relevan dengan gaya hidup pengguna masa kini.