Kedai Konsep Pertama Typo Dibuka Di IOI Mall Puchong
Lina Rosli
Typo, jenama alat tulis dan gaya hidup premium, kini melangkah ke fasa baharu apabila memilih Malaysia sebagai lokasi pertama di dunia untuk memperkenalkan kedai konsep terbaharunya di IOI Mall Puchong.
Pelancaran ini dilihat sebagai satu evolusi penting buat jenama tersebut, dengan pendekatan yang bukan sekadar ruang membeli-belah, tetapi sebuah pengalaman kreatif yang lebih menyeluruh.
Rekaan kedai ini diinspirasikan daripada idea bahawa sekeping kertas kosong boleh menjadi apa sahaja — daripada lakaran idea hingga ke perancangan masa depan.

Melalui konsep ini, Typo menampilkan ruang yang lebih terbuka dan imersif, seolah-olah sebuah “creative playground” yang menggalakkan pelanggan untuk meneroka, bereksperimen dan meluangkan masa dalam suasana yang santai.
Alat tulis kekal sebagai teras utama, namun kini dipertingkatkan dari segi kualiti kertas, binaan dan fungsi, menjadikannya lebih selesa digunakan sama ada untuk menulis, membuat jurnal atau melakar.
Dalam masa sama, Typo turut memperluaskan rangkaian produk gaya hidup yang merangkumi barangan hadiah, keperluan perjalanan dan aksesori harian, yang disusun bagi menambah elemen warna dan personaliti dalam kehidupan seharian.

Bersempena pembukaan ini, pelanggan yang mengunjungi kedai dari 2 hingga 5 April berpeluang menikmati pemberian percuma di dalam kedai, sekaligus memberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman ruang baharu yang ditawarkan.
Untuk makluman, Typo merupakan sebahagian daripada Cotton On Group, yang mengendalikan lebih 1,300 kedai di lebih 20 negara.
Pembukaan kedai konsep pertama ini bukan sahaja mengukuhkan kehadiran Typo di Malaysia, malah menjadi penanda aras kepada hala tuju jenama ini pada masa akan datang dalam menawarkan pengalaman runcit yang lebih kreatif dan bermakna.