Klook Travel Pulse 2026 – Rakyat Malaysia Dijangka Tingkatkan Perbelanjaan Perjalanan Sebanyak 15%

April 3, 2026
Hotel & Pelancongan

Lina Rosli

Minat rakyat Malaysia untuk melancong dilihat terus kukuh menjelang tahun 2026, dengan perbelanjaan perjalanan dijangka meningkat sebanyak 15%.

Dapatan ini diperoleh menerusi tinjauan Klook Travel Pulse 2026 – yang mana ini secara tidak langsung meletakkan Malaysia sebagai antara negara dengan kadar pertumbuhan perbelanjaan pelancongan kedua tertinggi di Asia Tenggara.

Secara keseluruhan, 56.1% rakyat Malaysia memilih destinasi berdasarkan nilai dan harga yang ditawarkan. Dalam kalangan Gen Z pula, disiplin kewangan menjadi fokus apabila 45.6% daripada mereka mengutamakan untuk kekal dalam bajet. Ini menunjukkan bahawa walaupun keinginan untuk melancong semakin tinggi, pendekatan pengguna kini lebih berhati-hati dan berasaskan nilai.

Dalam masa sama, penggunaan teknologi turut memainkan peranan penting dalam merancang perjalanan. Seramai 41.3% rakyat Malaysia kini menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) untuk mengenal pasti masa terbaik membuat tempahan bagi mendapatkan harga lebih rendah.

Pendekatan ini memperlihatkan bagaimana teknologi dimanfaatkan secara praktikal untuk membantu pengguna membuat keputusan kewangan yang lebih bijak.

Dari segi destinasi, Jepun kekal sebagai pilihan utama dengan 27.2%, diikuti oleh peningkatan minat terhadap China (13.1%) dan Australia (6.9%). Menariknya, corak penerokaan destinasi juga semakin berubah.

Di Jepun, golongan milenial mula memilih bandar sekunder seperti Sapporo dan Shizuoka, manakala Gen Z lebih cenderung meneroka lokasi seperti Okinawa dan Yokohama.

Di China pula, Gen Z menunjukkan minat terhadap bandar Tier 1 yang sedang meningkat naik seperti Chongqing dan Guangzhou, sementara milenial masih mengekalkan pilihan klasik seperti Beijing dan Shanghai.

Menurut Klook juga, bagi negara seperti Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand, pelancong masa kini bukan sahaja memberi perhatian kepada destinasi, tetapi juga cara mereka mengembara.

Klook komited untuk menghubungkan inspirasi dan realiti perjalanan melalui pengalaman terpilih, tawaran eksklusif serta penemuan berasaskan AI yang memudahkan pengguna merancang perjalanan pada bila-bila masa.

Trend perancangan perjalanan juga semakin dipengaruhi oleh platform digital. Sebanyak 78.9% rakyat Malaysia pernah menempah pengalaman pelancongan berdasarkan cadangan pencipta kandungan di media sosial, menjadikan platform ini sebagai sumber inspirasi utama. Pada masa sama, penggunaan AI semakin meluas, dengan 57.2% pengguna menggunakannya untuk mencari maklumat destinasi dan 54.1% untuk meneroka aktiviti yang sesuai.

Selain itu, terdapat peralihan jelas ke arah perjalanan yang lebih bermakna, terutamanya dalam kalangan Gen Z. Sebanyak 38% daripada mereka menitikberatkan pengalaman bermakna ketika melancong, lebih tinggi berbanding purata global.

Aktiviti seperti lawatan tempatan, pengalaman berpandu dan festival budaya menjadi pilihan utama, mencerminkan kecenderungan untuk lebih memahami budaya dan membina hubungan dengan destinasi yang dilawati.

Walaupun kedua-dua generasi, milenial dan Gen Z, berkongsi minat terhadap pengalaman makanan seperti lawatan kulinari, pendekatan mereka berbeza.

Milenial lebih cenderung kepada pengalaman berpandu dan lawatan tempatan, manakala Gen Z menunjukkan minat terhadap tarikan semula jadi bermusim seperti aurora dan bunga sakura. Dari segi inspirasi pula, milenial banyak dipengaruhi oleh visual di media sosial, manakala Gen Z lebih memilih kandungan berbentuk tip dan panduan yang praktikal.

Secara keseluruhannya, landskap pelancongan rakyat Malaysia kini menunjukkan perubahan ke arah perancangan yang lebih teliti, penggunaan teknologi yang lebih meluas, serta keutamaan terhadap pengalaman yang lebih bermakna.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd