Lebam Tanpa Sebab Boleh Jadi Petanda Penyakit Darah

April 15, 2026
Kesihatan

Lina Rosli

Pernahkah anda berada di situasi di mana anda berasa letih yang berpanjangan, kemudian diikuti dengan demam yang tidak kebah dan seterusnya turut muncul lebam tanpa sebab yang jelas?

Jika ya, ia sebenarnya bukanlah hanya petanda biasa. Secara umumnya, ramai di antara individu yang sering menganggap ia merupakan perkara biasa – dan mungkin sekadar kesan kurang rehat dan jangkitan ringan.

Namun dalam sesetengah kes, simptom ini sebenarnya boleh menjadi petanda awal kepada gangguan darah yang lebih serius dan memerlukan perhatian perubatan.

Menurut Dr Andy Tang Sing Ong, Pakar Perubatan Hematologi Klinikal & Makmal di Sunway Medical Centre, tanda-tanda yang kelihatan ringan ini tidak seharusnya diabaikan kerana ia mungkin berkait dengan masalah darah tersembunyi. Pengesanan awal memainkan peranan penting dalam memastikan rawatan yang lebih berkesan.

Ketahui Jenis-Jenis Penyakit Darah

Salah satu jenis kanser darah yang sering berlaku ialah Leukemia, iaitu keadaan di mana berlaku mutasi pada DNA sel pembentuk darah sehingga menyebabkan sel tersebut membiak secara tidak terkawal.

Leukemia boleh hadir dalam bentuk akut yang berkembang dengan cepat, atau kronik yang lebih perlahan. Kebanyakan kes berlaku akibat mutasi selepas kelahiran dan bukan diwarisi, namun individu dengan sejarah keluarga kanser yang kuat disarankan untuk mendapatkan penilaian lanjut.

Selain kanser, terdapat juga gangguan darah bukan kanser yang melibatkan masalah pembekuan atau pendarahan tidak normal. Contohnya ialah Hemofilia yang diwarisi, serta Immune Thrombocytopenia (ITP) yang berlaku apabila sistem imun menyerang platelet sendiri.

Keadaan seperti ini boleh menyebabkan lebam mudah terjadi atau pendarahan berpanjangan.

Apa yang menjadikan gangguan darah sukar dikesan ialah simptom awalnya sering disalah anggap sebagai masalah biasa. Lebam dianggap akibat terlanggar, keletihan dikaitkan dengan gaya hidup, sedangkan pakar melihat kepada keseluruhan corak simptom.

Antara tanda amaran yang perlu diberi perhatian termasuk:

  • demam berpanjangan melebihi dua hingga tiga minggu
  • lebam di kawasan yang jarang tercedera seperti belakang atau abdomen
  • pendarahan gusi tanpa sebab
  • jangkitan berulang
  • peluh malam
  • penurunan berat badan tanpa sebab
  • kehadiran benjolan yang tidak sakit atau nodus limfa yang membesar

Untuk pengetahuan anda juga, benjolan yang tidak sakit sering kali lebih membimbangkan berbanding yang sakit. Ini kerana benjolan akibat jangkitan biasanya disertai kesakitan, manakala yang berkait dengan kanser selalunya tidak menyebabkan rasa sakit.

Dalam kalangan kanak-kanak pula, jangkitan berulang yang memerlukan rawatan hospital juga boleh menjadi petunjuk kepada masalah sistem imun atau darah.

Apakah Faktor Yang Menyebabkan Penyakit Darah?

Risiko gangguan darah juga berbeza mengikut usia dan gaya hidup. Sebagai contoh, leukemia jenis limfoblastik akut lebih kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak, manakala jenis lain lebih lazim pada orang dewasa.

Pendedahan kepada bahan seperti radiasi, benzena atau racun perosak, serta penggunaan ubat imunosupresif jangka panjang untuk penyakit autoimun seperti Lupus turut meningkatkan risiko.

Dalam masa sama, wanita dalam usia reproduktif lebih terdedah kepada gangguan berkaitan imun seperti ITP dan anemia autoimun, selain risiko pembekuan darah bagi pengguna pil perancang tertentu.

Diagnosis Dan Rawatan Penyakit Darah

Dari sudut diagnosis, proses biasanya bermula dengan pemeriksaan sejarah perubatan dan fizikal secara menyeluruh, diikuti ujian darah asas.

Tidak semua pesakit memerlukan ujian lanjut, namun jika terdapat keputusan yang tidak normal tanpa sebab jelas, ujian tambahan seperti pengimejan atau biopsi sumsum tulang mungkin dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar. Pemeriksaan ini penting untuk menentukan sama ada keadaan tersebut melibatkan kanser, jangkitan atau gangguan autoimun.

Rawatan pula bergantung kepada jenis penyakit. Bagi kanser darah yang agresif, kemoterapi masih menjadi asas rawatan dan sering digabungkan dengan terapi sasaran, imunoterapi atau pemindahan sel stem dalam kes tertentu.

Namun, tidak semua kes memerlukan rawatan segera—sesetengah limfoma yang berkembang perlahan mungkin hanya dipantau terlebih dahulu tanpa intervensi awal.

Bagi gangguan bukan kanser, pendekatan rawatan adalah berbeza. Masalah pendarahan mungkin memerlukan pemindahan platelet atau terapi penggantian faktor pembekuan, manakala masalah pembekuan darah dirawat menggunakan ubat pencair darah.

Gangguan autoimun pula biasanya melibatkan penggunaan steroid atau terapi imun lain dengan pemantauan rapi bagi mengurangkan kesan sampingan jangka panjang.

Akhir sekali, mendapatkan nasihat perubatan walaupun untuk simptom yang kelihatan ringan bukanlah sesuatu yang berlebihan. Tubuh badan sering memberi isyarat awal sebelum sesuatu penyakit menjadi lebih serius.

Jika simptom berterusan atau semakin teruk walaupun selepas rehat dan rawatan asas, pemeriksaan awal boleh membantu mengesan masalah pada peringkat lebih awal—sekaligus meningkatkan peluang rawatan yang lebih berkesan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd