J&T Express Malaysia Bawakan YoYi – Solusi Peti Bungkusan Pintar 24 Jam & Pusat Pengambilan Baharu

April 23, 2026
Edagang

Lina Rosli

Dalam usaha mempertingkatkan kecekapan penghantaran mereka, J&T Express Malaysia kini menjalin kerjasama strategik dengan YoYi, sebuah penyedia penyelesaian loker pintar dan pusat pengumpulan bungkusan.

Dengan ini, pengguna kini mempunyai lebih pilihan untuk menerima dan menghantar bungkusan tanpa bergantung sepenuhnya kepada penghantaran ke rumah, sekaligus mengurangkan risiko kegagalan penghantaran.

Peti Bungkusan Pintar YoYi – Akses 24 Jam Yang Lebih Fleksibel

Sejak Februari 2026 yang lepas, J&T Express telah mula menawarkan piliha peti bungkusan pintar ini beberapa lokasi terpilih. Peti ini direka untuk memberikan kemudahan akses 24 jam di lokasi yang selamat dan strategik.

Menariknya, sistem ini turut menyokong fungsi Drop Off, di mana pengguna boleh menghantar bungkusan terus melalui peti tanpa perlu beratur di kaunter. Ini memberikan kelebihan besar kepada penjual dalam talian serta individu yang ingin menghantar barang dengan lebih cepat dan mudah.

Dari segi lokasi, peti pintar ini ditempatkan di kawasan tumpuan seperti hab pengangkutan awam termasuk rangkaian di bawah Prasarana Malaysia Berhad dan Keretapi Tanah Melayu Berhad, selain pusat beli-belah utama seperti AEON, AEON BiG, Sunway Group dan Berjaya Times Square.

Turut terlibat ialah pemaju hartanah seperti Mah Sing Group, S P Setia dan TH Properties.

Pusat Pengambilan YoYi Dan Kedai Konsep Baharu

Selain peti pintar, YoYi turut menampilkan pusat pengambilan sebagai pusat sehenti untuk urusan pengambilan dan penghantaran bungkusan. Setakat ini, sebanyak 330 lokasi telah dilancarkan, dengan lebih 1,000 lokasi lagi dalam perancangan.

Model ini menggunakan konsep penyewa bersama (joint tenant), membolehkan lokasi sedia ada seperti kedai runcit dan institusi pendidikan berfungsi sebagai pusat pengumpulan.

Antara lokasi terpilih bagi kedai konsep baharu termasuk sekitar Taman Melawati di Ampang, Low Yat Plaza serta kampus TAR UMT.

Kerjasama ini juga melibatkan institusi pendidikan seperti University Malaya, Universiti Teknologi MARA dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, serta rangkaian runcit seperti 7-Eleven, myNEWS dan SuperValue.

Kerjasama antara J&T Express dan YoYi! ini dilihat mampu menangani antara cabaran utama dalam ekosistem edagang, iaitu kegagalan penghantaran apabila penerima tiada di rumah.

Dengan adanya pilihan peti pintar dan pusat pengumpulan ini, pengguna kini boleh mengambil bungkusan mengikut kesesuaian masa dan lokasi, sama ada berhampiran tempat kerja atau sepanjang laluan harian mereka.

Bagi penjual pula, kemudahan drop-off ini membantu menjimatkan masa serta meningkatkan kecekapan operasi penghantaran.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd