Koleksi UNIQLO x Cecilie Bahnsen 2026 – Gaya Romantik Untuk Koleksi Seharian

April 23, 2026
Fesyen

Lina Rosli

UNIQLO mengumumkan kolaborasi terbaharu bersama pereka fesyen dari Denmark, Cecilie Bahnsen, menerusi koleksi Spring/Summer 2026 yang bakal dilancarkan pada 22 Mei ini.

Koleksi ini mengetengahkan konsep “Shapes of Poetry”, menggabungkan rekaan feminin dan romantik dengan keselesaan gaya harian yang menjadi teras LifeWear.

Kolaborasi ini menampilkan pendekatan rekaan yang moden tetapi kekal timeless, dengan fokus kepada pakaian yang bukan sahaja cantik dipakai, malah sesuai untuk kegunaan harian.

Bagi yang tidka mengetahui, Cecilie Bahnsen, yang terkenal dengan gaya lembut dan berlapis, menyatakan keterujaannya dapat bekerjasama dengan UNIQLO buat pertama kali, sekaligus membawa estetikanya kepada lebih ramai wanita di seluruh dunia.

Koleksi ini menampilkan elemen ikonik seperti motif floral, potongan lengan beralun (voluminous sleeves), serta perincian frill dan shirring yang memberikan sentuhan romantik pada setiap helaian.

Antara item yang ditawarkan termasuk gaun, blaus, skirt dan T-shirt yang boleh digayakan secara individu atau dipadankan sebagai set. Penggunaan material seperti kapas berkualiti tinggi dan fabrik elastik turut memastikan setiap pakaian kekal selesa sepanjang hari.

Menariknya, kolaborasi ini juga memperkenalkan barisan pakaian kanak-kanak perempuan buat pertama kali oleh Cecilie Bahnsen.

Ia direka dengan inspirasi daripada koleksi dewasa, rangkaian ini merangkumi gaun, T-shirt dan skort yang praktikal serta selesa, lengkap dengan ciri seperti pinggang boleh laras dan poket untuk kegunaan harian.

Dari segi penawaran, koleksi wanita merangkumi pelbagai rekaan seperti Shirring Sleeveless T, Frill T, Graphic T, Frill T Dress, Shirring Skirt dan Shirring Dress. Manakala untuk kanak-kanak perempuan, pilihan termasuk Frill T, Shirring Dress, Frill T Dress, Shirring Skort dan Graphic T.

Koleksi ini akan mula dijual pada 22 Mei 2026 di empat cawangan terpilih UNIQLO di Malaysia iaitu Fahrenheit88, The Exchange TRX, 1 Utama Shopping Centre dan Mid Valley Megamall, selain turut tersedia secara dalam talian melalui laman rasmi UNIQLO.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd