Adakah Anda Benar-Benar Memerlukan Produk “99.9% Kill” Untuk Kebersihan Harian?

May 12, 2026
Gaya Hidup

Lina Rosli

Kills 99.9% of germs” kini menjadi antara ayat paling biasa digunakan dalam pelbagai produk kebersihan harian.

Daripada pencuci tangan hingga pencuci badan, angka tersebut sering dikaitkan dengan perlindungan terbaik dan tahap kebersihan yang lebih tinggi. Namun, adakah kita benar-benar memerlukan tahap “99.9% kill” untuk rutin harian?

Menurut Prof. Ir. Ts. Dr. Lai Chin Wei, Penasihat Saintifik Kanan kepada SATEERA dan profesor di Pusat Penyelidikan Nanoteknologi & Pemangkin (NANOCAT), Universiti Malaya, ramai pengguna sebenarnya tidak menyedari bahawa angka “99.9% kill” biasanya diperoleh melalui ujian makmal dalam keadaan terkawal. Ia tidak semestinya menggambarkan situasi sebenar penggunaan harian.

Beliau menjelaskan bahawa produk dengan tahap perlindungan tinggi sememangnya penting dalam situasi tertentu seperti di hospital, ketika sakit atau dalam keadaan yang memerlukan kawalan jangkitan secara ketat.

Namun, rutin harian kebanyakan orang tidak berada dalam kategori berisiko tinggi. Walaupun begitu, ramai pengguna kini menggunakan produk berintensiti tinggi secara berterusan untuk aktiviti biasa seperti mencuci tangan atau membersihkan diri setiap hari.

Menurut beliau, amalan ini boleh memberi kesan kepada kulit dalam jangka panjang. Sebagai contoh, kulit akan menjadi lebih kering, sensitif atau mudah mengalami iritasi sering dianggap sebagai masalah berasingan, sedangkan ia mungkin berpunca daripada penggunaan produk kebersihan yang terlalu kuat dan terlalu kerap.

Kajian klinikal dan dermatologi juga menunjukkan bahawa mencuci tangan lebih daripada 8 hingga 10 kali sehari boleh meningkatkan risiko kerengsaan kulit dan ekzema.

Beliau turut menekankan bahawa tidak semua mikroorganisma perlu dihapuskan sepenuhnya. Sebahagian mikrob sebenarnya membantu mengekalkan keseimbangan semula jadi pada kulit dan bertindak sebagai lapisan pertahanan pertama badan.

Disebabkan itu, penggunaan produk antibakteria yang terlalu kuat dalam situasi harian tidak semestinya memberikan perlindungan tambahan.

Tambah Prof. Ir. Ts. Dr. Lai Chin Wei juga, persoalan yang lebih penting bukanlah ‘sekuat mana produk ini’, tetapi sama ada kita benar-benar memerlukan tahap kekuatan tersebut pada waktu itu.

Perkara sama turut berlaku dalam penjagaan oral dan kebersihan intim. Penggunaan ubat kumur antiseptik yang terlalu kuat secara berulang boleh mengganggu keseimbangan mikrobiom mulut.

Dalam penjagaan intim pula, kawasan tersebut sememangnya mempunyai keseimbangan semula jadi tersendiri dan penggunaan pencuci antibakteria yang terlalu agresif boleh mengganggu sistem tersebut.

Harus diingatkan, matlamat utama kebersihan bukanlah untuk menghapuskan semua bakteria, tetapi memastikan keseimbangan yang sihat termasuk bakteria baik yang diperlukan tubuh.

Oleh sebab itu, pendekatan kebersihan kini dilihat semakin berubah daripada konsep “lebih kuat lebih baik” kepada penggunaan yang lebih sesuai mengikut keperluan.

Trend tersebut juga mula dilihat dalam pembangunan produk baharu di pasaran. Beberapa jenama termasuk SATEERA kini mula memberi fokus kepada formulasi yang lebih lembut untuk kegunaan harian serta menitikberatkan keseimbangan mikrobiom berbanding sekadar memaksimumkan kadar pembunuhan bakteria.

Secara keseluruhannya, kebersihan masih penting dalam kehidupan seharian, namun cara kita mengamalkannya semakin berkembang.

Dalam banyak situasi harian, penggunaan produk paling kuat tidak semestinya menjadi pilihan paling selamat atau paling sesuai. Pendekatan yang lebih bijak adalah menggunakan produk mengikut keperluan dan memahami bahawa kadangkala, “cukup” itu sudah memadai.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd