LEGOLAND Malaysia Dan JDT Bawa Pengalaman Stadium Sultan Ibrahim Ke MINILAND
Lina Rosli
Nampaknya, peminat bola sepak dan dunia LEGO kini boleh menikmati pengalaman baharu di LEGOLAND Malaysia Resort apabila Johor Darul Ta’zim atau JDT bekerjasama memperkenalkan replika Stadium Sultan Ibrahim dalam versi LEGO di MINILAND.
Menurut LEGOLAND, penawaran ini akan dibuka pada penghujung Jun 2026 – yang mana ia akan menjadi tarikan terbaharu untuk anda yang ingin berkunjung ke MINILAND.

Sebelum ini, MINILAND sendiri merupakan antara tarikan utama di LEGOLAND Malaysia yang menampilkan pelbagai replika mercu tanda terkenal serantau menggunakan jutaan blok LEGO lengkap dengan elemen bergerak dan penceritaan interaktif.
Melalui kolaborasi ini, suasana hari perlawanan bola sepak turut dibawa ke dalam dunia LEGO menerusi aktiviti dan pengalaman khas bertemakan JDT.


Selain tarikan baharu di MINILAND, kerjasama ini turut hadir dengan pas tahunan edisi terhad khas LEGOLAND x JDT. Rekaan pas ini diinspirasikan daripada seni bina dan elemen ikonik Stadium Sultan Ibrahim, sekaligus menjadi antara kolaborasi pertama seumpamanya di Johor.
Bagi pemegang pas musim JDT, kakitangan, dan pemain JDT, mereka boleh menikmati diskaun 35% untuk tiket harian LEGOLAND melibatkan Theme Park, Water Park, dan SEA LIFE. Mereka juga menerima diskaun 15% untuk pembelian makanan dan minuman di resort tersebut bersama manfaat lain pas tahunan LEGOLAND.

Sementara itu, pemegang pas tahunan edisi khas LEGOLAND x JDT pula akan menerima akses tanpa had ke Theme Park, Water Park, dan SEA LIFE selain diskaun makanan dan minuman di LEGOLAND Malaysia. Pas ini juga hadir dengan manfaat tambahan seperti akses ke perlawanan JDT serta diskaun untuk barangan rasmi JDT.

Untuk pemegang pas tahunan LEGOLAND sedia ada pula, mereka boleh menikmati diskaun 10% bagi pembelian pas musim JDT selain tawaran harga istimewa untuk barang cenderamata JDT.
Pas tahunan edisi terhad ini akan mula dijual bermula 4 Jun dengan harga bermula RM175 menerusi laman web rasmi LEGOLAND Malaysia.
Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak berharap dapat membawa pengalaman JDT ke luar stadium sambil mendekatkan lagi peminat dengan dunia permainan interaktif LEGO.