KLIMS 2026: Honda Prelude Kembali ke Malaysia – Hibrid 2.0L e:HEV, Teknologi S+ Shift & Harga RM278,000

June 11, 2026
Automotif

Lina Rosli

Honda Malaysia secara rasmi telah melancarkan Honda Prelude generasi keenam serba baharu sempena Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026.

Hadir sebagai sebuah Grand Tourer (GT) moden yang dibangunkan di bawah konsep “Unlimited Glide”, Prelude kali ini menggabungkan DNA pemanduan sporty, keselesaan premium, dan praktikaliti harian pada tanda harga RM278,000.

Nadi Kuasa e:HEV & Debut Teknologi ‘S+ Shift’

Untuk pengetahuan anda, Honda Prelude dikuasakan oleh trenkuasa hibrid maju 2.0L e:HEV yang menghasilkan kuasa 184 PS dan tork 315 Nm. Gandingan ini menjanjikan pecutan yang responsif serta kecekapan bahan api yang tinggi.

Menariknya, model ini merupakan kenderaan pertama Honda di Malaysia yang dilengkapi dengan Teknologi S+ Shift —sistem berasaskan motor elektrik ini berfungsi mengawal RPM enjin secara tepat ketika pecutan dan nyahpecutan.

Tiga Mod Pemanduan & Ciri Kawalan Unik

Bagi menyesuaikan pemanduan mengikut keperluan pemandu, Honda Prelude menawarkan tiga mod pemanduan utama:

  • Sport Mode: Meningkatkan tindak balas pengendalian dan kestabilan untuk pemanduan dinamik.
  • GT Mode: Imbangan terbaik antara keselesaan premium dan prestasi lancar untuk perjalanan jauh.
  • Comfort Mode: Tetapan stereng yang lebih ringan dan hantaran kuasa yang lebih lancar untuk pemanduan santai.

Pemandu juga boleh menetapkan talaan tersendiri (enjin, stereng, suspensi, bunyi) menerusi Individual Mode.

Selain itu, ciri Coasting Control Operation turut diperkenalkan buat pertama kali pada model Honda untuk membantu memperlahankan kenderaan dengan lancar, sekali gus mengurangkan keletihan kaki pemandu daripada kerap bertukar antara pedal brek dan pendikit.

Komponen Casis Honda Civic Type R

Walaupun sebuah jentera hibrid, Honda tidak berkompromi dari segi pengendalian.

Model Prelude serba baharu ini mewarisi beberapa teknologi casis daripada Civic Type R, termasuklah sistem suspensi depan dual-axis strut dan Adaptive Damper System. Sistem Agile Handling Assist (AHA) turut disertakan bagi memastikan kestabilan maksimum ketika mengambil selekoh tajam.

Rekaan ‘Glider’ Yang Aerodinamik & Ruang Kabin Pintar

Dari segi estetik, Prelude tampil dengan siluet fastback yang mengalir lancar.

Antara perincian menarik luaran termasuklah gril krom hitam, lampu hadapan dan belakang LED, pemegang pintu jenis flush (terbenam), serta rim aluminium 19-inci yang menonjolkan angkup brek Brembo berwarna biru.

Melangkah ke dalam kabin Gliding Cockpit, ia dilengkapi dengan:

  • Skrin Audio Paparan Lanjutan 9-inci dengan fungsi Google Built-in (Google Assistant, Maps, dan Play).
  • Sistem Audio Premium Bose untuk kualiti bunyi bertaraf konsert.
  • Ruang kargo yang praktikal, mampu memuatkan dua bagasi bersaiz sederhana walaupun ia sebuah coupe dua pintu.

Aspek Keselamatan & Pilihan Warna

Sebagai peneman perjalanan yang selamat, Prelude didatangkan standard dengan pakej keselamatan aktif Honda SENSING yang komprehensif.

Untuk pasaran Malaysia, model ini ditawarkan dalam tiga pilihan warna premium:

  • Winter Frost Pearl
  • Rallye Red
  • Crystal Black Pearl

Orang ramai boleh melihat dengan lebih dekat Honda Prelude serba baharu ini di booth Honda sepanjang acara KLIMS 2026. Tempahan kini telah dibuka dan boleh dilakukan secara dalam talian di laman rasmi prebook.honda.com.my atau menerusi pengedar sah Honda di seluruh negara.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd