KLIMS 2026: Hyundai Malaysia Lancar IONIQ 5 N & IONIQ 6 N – Kereta EV Prestasi Tinggi, Harga Bermula RM443,888
Lina Rosli
Hyundai Motor Malaysia secara rasminya memperkenalkan dua model berprestasi tinggi iaitu Hyundai IONIQ 5 N dan IONIQ 6 N, sempena Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2026.
Untuk pengetahuan anda, bagi model IONIQ 5 N dan IONIQ 6 N ini merupakan model dibawa sub-jenama Hyundai N.
Kedua-dua model ini ditawarkan secara eksklusif berasaskan tempahan khas (built-to-order) pada harga RM443,888 bagi IONIQ 5 N dan RM449,888 bagi IONIQ 6 N.

Mewarisi DNA daripada kejayaan dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC), model-model berciri N ini dibangunkan di Pusat R&D Namyang, Korea Selatan, sebelum diuji secara tegar di litar legenda Nurburgring, Jerman.
Model IONIQ 5 N merupakan model crossover litar yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 650 PS menerusi mod N Grin Boost.
Model ini juga hadir dengan kemampuan memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa 3.4 saat dengan kelajuan maksimum 260 km/j, selain menawarkan jarak pemanduan WLTP sejauh 448 km.

Ia turut dilengkapi teknologi simulasi kotak gear klac berkembar 8-kelajuan melalui sistem N e-Shift serta bunyi enjin buatan N Active Sound+ untuk mengekalkan sensasi pemanduan mekanikal yang tulen.
Sementara itu, IONIQ 6 N pula dibina berasaskan platform Streamliner. Ia adalah sedan berprestasi tinggi yang menawarkan pecutan lebih pantas iaitu 3.2 saat untuk 0 ke 100 km/j, dengan jarak pemanduan yang lebih jauh mencapai 487 km.

Kedua-dua model dilengkapi dengan sistem Elektronically Controlled Suspension (ECS) untuk kawalan selekoh yang tajam dan mantap.
Bagi yang berminat, tempahan kini boleh dibuat menerusi Tempahan sah Hyundai N terpilih di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Kuching.


Selain pelancaran barisan kenderaan prestasi tinggi, ruang pameran Hyundai di MITEC yang berlangsung dari 12 hingga 21 Jun 2026 turut mempamerkan barisan model sedia ada seperti Tucson, Santa Fe, dan Staria berserta sesi pandu uji.