KLIMS 2026: Perodua Memperlihatkan EV Sedan Baharu Menerusi Kereta Konsep C2

June 11, 2026
Automotif

Lina Rosli

Perodua kini memperlihatkan babak kedua dalam fasa perjalanan kenderaan elektriknya (EV) di Kuala Lumpur International Mobility Show 2026 (KLIMS 2026) melalui pengenalan sebuah kereta prototaip terbaharu iaitu C2 —singkatan bagi nama Chapter 2.

Menurut Perodua, kereta konsep ini merupakan sedan segmen B yang diinspirasikan daripada kehendak serta gaya hidup generasi muda Alpha dan Beta di Malaysia.

Berbeza dengan reka bentuk konsep EM-O terdahulu yang lebih tertumpu kepada segmen hatchback, C2 membawakan satu fasa rekaan yang lebih segar dan dinamik sebagai bayangan awal kepada evolusi model EV pengeluaran massa Perodua pada masa akan datang.

Menurut Perodua juga, kereta konsep ini direka sepenuhnya oleh barisan pereka muda dan berbakat tempatan bagi mencerminkan visi peribadi mereka terhadap masa depan industri EV.

Dari segi keupayaan teknologi, Perodua C2 dibina dengan pelbagai integrasi pintar termasuk ciri bantuan pemanduan berasaskan kecerdasan buatan (AI) seperti sistem navigasi masa nyata, kemas kini keadaan trafik semasa, pengesanan lokasi stesen pengecasan terdekat, bantuan parkir kenderaan automatik, serta sistem keselamatan anti-curi yang telah dipertingkatkan.

Di samping itu, sistem ketersambungan digital di dalam kabin turut dikemas kini dengan penyepaduan aplikasi super P-Circle secara menyeluruh.

Melalui gabungan ekosistem digital ini, pemilik kenderaan boleh menguruskan pelbagai keperluan harian dengan mudah terus dari dalam kenderaan, termasuklah akses kepada transaksi dompet digital serta perkhidmatan penghantaran alat ganti tulen Perodua.

Untuk anda yang ingin menerokai kereta konsep terbaharu dari Perodua ini, jangan ketinggalan untuk berkunjung ke reruai pameran Perodua di KLIMS 2026 kini dibuka kepada orang ramai bertempat di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) bermula 12 sehingga 21 Jun 2026.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd