KFC Kini Berwajah Baharu – Menampilkan Logo Dan Konsep Restoran Serba Baharu
Lina Rosli
KFC kini memulakan fasa baharu penjenamaannya di peringkat global dengan memperkenalkan identiti yang lebih moden, termasuk kemaskini pada penampilan jenama, inovasi menu serta reka bentuk restoran generasi baharu.
Perubahan ini akan dilaksanakan secara berperingkat di lebih 34,000 restorannya di lebih 150 negara, bermula dengan pasaran United Kingdom dan Ireland sebelum diperluaskan ke Australia, Amerika Syarikat serta pasaran lain sepanjang 2026.

Dari segi penjenamaan, KFC masih mengekalkan elemen ikonik seperti wajah Colonel Sanders dan slogan “Finger Lickin’ Good”, namun ia diberikan sentuhan visual yang lebih segar agar selari dengan trend semasa.
Bukan itu sahaja, jenama ini turut mengemaskini rekaan baldi ayam KFC – yang mana kini identiti baharu ini akan digunakan pada pembungkusan, platform digital, bahan pengiklanan serta persekitaran restoran.

Selain itu, KFC turut memperkenalkan pelbagai inovasi menu yang memberi tumpuan kepada hidangan ayam tanpa tulang, pilihan sos baharu serta platform minuman dikenali sebagai KWENCH by KFC, yang menawarkan pilihan seperti boba, lemonade berkarbonat, milkshake dan kopi ais di beberapa pasaran terpilih.
KFC juga merancang untuk membuka restoran dengan konsep reka bentuk baharu yang lebih moden dan mesra pelanggan.

Antara projek yang diumumkan termasuk restoran berkonsep terbuka di McKinney, Texas dan restoran dua tingkat di Dubai, yang dijangka menjadi antara contoh awal hala tuju baharu jenama itu.
Melalui pembaharuan ini, KFC menyasarkan untuk menawarkan pengalaman yang lebih menarik kepada pelanggan, bukan sahaja dari segi makanan tetapi juga suasana restoran dan identiti jenama secara keseluruhan.