Seiko Prospex Melancarkan Jam Tangan Selam Edisi Terhad Sempena Ulang Tahun Ke-60 PADI

July 1, 2026
Fesyen

Lina Rosli

Seiko Prospex memperkenalkan jam tangan selam edisi terhad sempena ulang tahun ke-60 Professional Association of Diving Instructors (PADI), sekaligus meraikan sedekad kerjasama antara kedua-dua jenama yang berkongsi komitmen terhadap dunia penyelaman dan pemuliharaan lautan.

Hubungan antara Seiko dan dunia penyelaman bermula sejak tahun 1965 apabila syarikat itu menghasilkan jam tangan selam pertama Jepun. Setahun kemudian, PADI ditubuhkan bagi meningkatkan standard latihan serta memperluaskan akses kepada pendidikan penyelaman.

Kini, selepas enam dekad, PADI menjadi organisasi penyelaman terbesar dunia dengan operasi di 183 negara dan lebih 30 juta pensijilan penyelam dikeluarkan.

Sejak menjalin kerjasama pada 2016, Seiko dan PADI bukan sahaja memberi tumpuan kepada keselamatan penyelam, malah aktif menyokong usaha pemeliharaan lautan. Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, Seiko Prospex turut bekerjasama dengan PADI AWARE Foundation menerusi pelbagai inisiatif membersihkan sisa marin di bawah kempen Save the Ocean.

Jam tangan edisi khas ini menampilkan rekaan yang diinspirasikan daripada logo ulang tahun ke-60 PADI. Ia hadir dengan dail berwarna biru yang melambangkan lautan, dipadankan dengan sentuhan merah pada penanda jam 6 dan jarum saat.

Motif glob yang diambil daripada logo PADI turut menghiasi keseluruhan permukaan dail, manakala bezel berputar satu arah menggunakan sisipan seramik bagi meningkatkan ketahanan terhadap calar.

Model ini menggunakan rekaan ikonik Seiko yang cukup dikenali dalam kalangan penyelam. Sarung jam dengan mahkota pada kedudukan pukul 4 memberikan rupa yang kemas serta lebih selesa dipakai ketika aktiviti menyelam.

Jam tangan ini dikuasakan oleh kaliber automatik 4R36 dengan rizab kuasa sehingga 41 jam dan dilengkapi 24 batu permata (jewels). Ia turut menggunakan kristal nilam (sapphire crystal) dengan salutan anti-pantulan pada bahagian dalam, selain mempunyai ketahanan air sehingga 200 meter yang memenuhi piawaian jam tangan selam.

Selain gelang keluli tahan karat, pembeli turut menerima tali silikon berkekuatan tinggi yang dicetak dengan tulisan Professional Association of Diving Instructors. Rekaan tali jenis accordion membolehkan ia dipakai dengan selesa sama ada terus pada pergelangan tangan atau di luar sut selam.

Seiko Prospex Diver’s Watch PADI 60th Anniversary Limited Edition (HBB002K1) sudahpun mula dijual di butik Seiko dan pengedar terpilih di seluruh dunia.

Model ini dihasilkan dalam jumlah terhad 8,000 unit sahaja dengan harga jualan yang disyorkan di Malaysia sebanyak RM3,100.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd