Bell & Ross Perkenalkan BR-03 Skeleton Steel – Jam Tangan Mekanikal Dengan Reka Bentuk Telus
Lina Rosli
Bell & Ross memperkenalkan model terbaharu dalam koleksi BR-03 menerusi BR-03 Skeleton Steel, sebuah jam tangan yang mengetengahkan keindahan mekanikal melalui reka bentuk dial telus.
Bagi yang tidak mengetahui, model ini dibangunkan untuk mereka yang menghargai ketelitian pembuatan jam tangan serta ingin melihat sendiri pergerakan mekanikal di sebalik setiap putaran masa.
Untuk pengetahuan, BR-03 Skeleton Steel merupakan kesinambungan kepada siri skeleton yang diperkenalkan Bell & Ross pada tahun 2025.

Berbeza dengan model terdahulu yang menampilkan elemen lebih gelap, versi baharu ini menggunakan dial lutsinar yang memberikan pandangan lebih jelas terhadap mekanisme dalaman jam.
Jam tangan ini menggunakan kaliber automatik BR-CAL.328 yang dibangunkan khusus untuk koleksi ini.
Salah satu elemen yang mencuri perhatian ialah reka bentuk jambatan mekanikal berbentuk huruf X, yang bukan sahaja menyerlahkan identiti Bell & Ross malah membantu mengukuhkan struktur keseluruhan pergerakan mekanikal tersebut. Ia turut menawarkan simpanan kuasa sehingga 54 jam.

Walaupun menampilkan dial telus, BR-03 Skeleton Steel masih mengekalkan identiti ikonik Bell & Ross dengan angka Arab pada kedudukan 12, 3, 6 dan 9 bersama indeks yang mudah dibaca.
Jarum serta penanda jam disalut dengan Super-LumiNova X1, membolehkan masa kekal jelas dilihat walaupun dalam keadaan gelap.
Dari segi reka bentuk, jam tangan ini menggunakan kerangka keluli bersaiz 41 mm dengan gabungan kemasan satin dan berkilat. Ketebalan hanya 9.65 mm menjadikannya lebih selesa dipakai setiap hari tanpa kelihatan terlalu besar di pergelangan tangan.
Ia dipadankan dengan tali getah hitam serta tali fabrik sintetik hitam yang lebih tahan lasak – sesuai digunakan sama ada untuk aktiviti harian mahupun dalam persekitaran yang lebih mencabar.

BR-03 Skeleton Steel juga menawarkan ketahanan air sehingga 100 meter.
Model ini dilihat sebagai pilihan sesuai untuk peminat Bell & Ross yang ingin beralih daripada model BR-03 standard kepada jam tangan skeleton tanpa perlu memilih model yang lebih kompleks.
Dengan gabungan reka bentuk ikonik, mekanisme yang dipamerkan secara terbuka dan kemasan premium, BR-03 Skeleton Steel menawarkan pengalaman berbeza kepada mereka yang menghargai seni pembuatan jam tangan mekanikal.