Tidur Siang Terlalu Lama Boleh Buat Lebih Penat, Ini Tempoh Yang Sesuai

July 2, 2026
Gaya Hidup

Lina Rosli

Kadangkala selepas hari yang panjang, tempoh perbincangan yang lama dan juga perjalanan yang jauh, anda mungkin ingin mendapatkan rehat dengan tidur sebentar pada waktu siang.

Namun, pernahkah anda berada di dalam situasi yang mana selepas anda bangun dari tidur siang, anda merasakan yang mana badan anda berasa lebih lesu berbanding sebelum tidur.

Menurut pakar, tempoh tidur siang memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada anda akan berasa lebih segar atau sebaliknya.

Bagi kebanyakan orang dewasa, tidur siang sekitar 20 minit dianggap tempoh yang paling ideal.

Dalam tempoh ini, tubuh hanya memasuki fasa tidur ringan, sekaligus membantu meningkatkan tahap kewaspadaan dan mengurangkan rasa mengantuk tanpa mengganggu tidur pada waktu malam.

Sebaliknya, tidur siang melebihi 30 minit boleh menyebabkan sleep inertia, iaitu keadaan apabila seseorang berasa mamai, sukar fokus dan mengambil masa lebih lama untuk kembali cergas selepas bangun tidur.

Terdapat Pengecualian Lain Untuk Tidur Siang

Namun, terdapat satu pengecualian. Tidur siang selama kira-kira 90 minit membolehkan tubuh melengkapkan satu kitaran tidur penuh.

Tempoh ini sering disyorkan kepada individu yang bekerja mengikut syif, petugas kecemasan atau mereka yang benar-benar mengalami kekurangan tidur kerana ia membantu proses pemulihan dengan lebih menyeluruh.

Selain mengurangkan rasa mengantuk, tidur siang yang dilakukan dengan betul turut memberi pelbagai manfaat kepada tubuh.

Kelebihan Tidur Sebentar Pada Waktu Siang

Kajian menunjukkan ia boleh membantu meningkatkan suasana hati (mood), mengurangkan tekanan serta memperbaiki prestasi fizikal dan mental. Atlet dan anggota tentera juga antara kumpulan yang diketahui mengamalkan tidur siang bagi membantu mengekalkan prestasi mereka.

Beberapa kajian turut mengaitkan tabiat tidur siang dengan kesihatan jantung. Walau bagaimanapun, hasil kajian masih bercampur-campur.

Pakar menjelaskan bahawa risiko kesihatan biasanya bukan berpunca daripada tidur siang itu sendiri, tetapi kerana seseorang mungkin mengalami masalah tidur pada waktu malam atau gangguan tidur yang tidak disedari.

Jika anda ingin tidur siang, waktu terbaik ialah pada awal petang. Tidur selepas pukul 3 petang boleh mengganggu tidur malam dan menyebabkan kualiti tidur menjadi kurang baik.

Satu lagi teknik yang semakin popular ialah coffee nap. Caranya ialah minum secawan kopi sebelum tidur selama kira-kira 20 minit.

Oleh kerana kafein mengambil masa sekitar 20 minit untuk mula bertindak, anda mungkin akan bangun dengan rasa lebih segar apabila kesan kafein mula berfungsi.

Tips Meningkatkan Kualiti Tidur

Untuk mendapatkan manfaat maksimum, tidur siang juga sebaiknya dilakukan di tempat yang tenang, gelap dan mempunyai suhu yang selesa.

Selain itu, anda juga perlu mengelakkan kawasan tempat tidur yang terdedah dengan gangguan daripada televisyen atau telefon pintar – ini bagi memastikan anda mendapatkan tidur yang lebih mudah dan berkualiti.

Secara umumnya, walaupun tidur siang mempunyai manfaat yang pelbagai, anda masih perlu memastikan anda mendapatkan tidur malam yang mencukupi dan berkualiti.

Sekiranya tidur malam anda tidak berkualiti, ini berkemungkinan besar boleh menjadi petanda kepada masalah seperti gangguan tidur, apnea tidur, kekurangan tidur kronik atau keadaan kesihatan lain yang memerlukan pemeriksaan lanjut.

Ringkasnya, tidur siang boleh menjadi cara yang berkesan untuk memulihkan tenaga, tetapi tempohnya perlu dikawal.

Bagi kebanyakan orang, 20 minit sudah mencukupi untuk memberi kesan yang menyegarkan tanpa menjejaskan tidur pada waktu malam.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd