Tabiat Buang Minyak Masak Ke Sinki Boleh Rosakkan Paip Rumah

July 6, 2026
fakta menarik

Lina Rosli

Dalam pelbagai keadaan, pasti ramai dalam kalangan individu yang mempunyai tabiat membuang lebihan minyak masak ataupun minyak lama yang tidak lagi digunakan terus ke dalam sinki.

Tahukah anda bahawa tabiat ini sebenarnya boleh menyebabkan saluran paip tersumbat, mencemarkan alam sekitar dan meningkatkan kos penyelenggaraan sistem pembetungan?

Tidak dinafikan untuk minyak masak berasaskan kelapa sawit, ia tidak akan membeku atau mengeras pada suhu bilik seperti lemak haiwan. Namun begitu, minyak ini tetap juga tidak sesuai dibuang terus ke dalam sinki.

Tips Menguruskan Minyak Masak Terpakai

Cara terbaik untuk menguruskan minyak ini adalah dengan menyimpan minyak tersebut di dalam bekas sebelum dikitar semula atau dilupuskan dengan selamat.

Selepas selesai memasak, biarkan minyak sejuk sepenuhnya terlebih dahulu. Kemudian, tapis bagi mengasingkan sisa makanan yang masih tertinggal.

Langkah ini membantu memastikan minyak lebih mudah dikendalikan dan sesuai untuk tujuan kitar semula.

Seterusnya, tuangkan minyak ke dalam bekas yang mempunyai penutup seperti botol plastik, botol kaca atau kotak susu yang telah dibersihkan. Pastikan bekas ditutup rapat bagi mengelakkan kebocoran sebelum disimpan atau dibuang.

Sekiranya terdapat pusat pengumpulan berhampiran, minyak masak terpakai boleh dihantar untuk dikitar semula.

Bukan Minyak Sahaja, Elakkan Buang Bahan Ini Ke Dalam Sinki

Selain minyak masak, terdapat beberapa bahan lain yang juga boleh menyebabkan saluran paip tersumbat, antaranya:

  • Nasi – Menyerap air dan mengembang, sekaligus mudah menyumbat saluran.
  • Serbuk kopi – Tidak larut sepenuhnya dan boleh mendap di dalam paip.
  • Mi atau spageti – Mudah berpintal dan tersangkut, terutama jika sinki dilengkapi mesin pelupusan sisa makanan.
  • Kulit buah-buahan – Kulit epal dan buah sitrus boleh melekat pada dinding paip dan menyebabkan aliran air menjadi perlahan.

Pusat Kitar Semula Minyak Di Malaysia

Di Malaysia, terdapat pelbagai pusat kitar semula dan syarikat yang mengumpul minyak masak terpakai untuk diproses menjadi biodiesel atau kegunaan industri lain.

Selain itu, beberapa stesen minyak terpilih turut menjalankan program pengumpulan minyak masak terpakai dan menawarkan ganjaran seperti mata ganjaran atau bayaran tunai, bergantung kepada lokasi dan kempen semasa.

Jika tiada kemudahan kitar semula berhampiran, pastikan minyak yang telah disimpan dalam bekas bertutup rapat dimasukkan ke dalam beg plastik sebelum dibuang bersama sisa pepejal ke dalam tong sampah.

Apa yang paling penting, elakkan daripada menuang minyak masak ke dalam sinki atau longkang. Minyak yang memasuki sistem saliran boleh melekat pada dinding paip dan memerangkap sisa makanan, sekaligus menyebabkan saluran tersumbat.

Dalam jangka panjang, ia bukan sahaja boleh merosakkan sistem paip di rumah, malah memberi kesan kepada sistem pembetungan awam

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd