Mata Juling Dan Katarak Boleh Berlaku Pada Semua Peringkat Usia
Lina Rosli
Masalah penglihatan sering bermula dengan tanda-tanda yang sukar disedari. Seorang kanak-kanak mungkin kerap memiringkan kepala ketika menonton televisyen, sukar melihat tulisan di papan putih, atau seorang dewasa mula berasa silau ketika memandu pada waktu malam.
Walaupun kelihatan remeh, perubahan ini boleh menjadi petunjuk awal kepada masalah mata yang memerlukan pemeriksaan lanjut.

Menurut Pakar Perunding Oftalmologi dan Oftalmologi Pediatrik di Sunway Medical Centre, Sunway City, Dr. Fazilawati A. Qamarruddin, dua masalah mata yang kerap berlaku tetapi sering diabaikan ialah mata juling (strabismus) dan katarak.
Kedua-dua keadaan ini boleh menjejaskan kualiti penglihatan serta memberi kesan kepada kehidupan harian jika tidak dirawat.
Mata Juling Tidak Hanya Berlaku Pada Kanak-Kanak
Mata juling berlaku apabila kedua-dua mata tidak sejajar dan melihat ke arah yang berbeza. Satu mata mungkin memandang lurus, manakala mata yang satu lagi menghala ke dalam, luar, atas atau bawah.
Walaupun sering dikaitkan dengan kanak-kanak, keadaan ini sebenarnya boleh berlaku pada semua peringkat umur.

Dalam kalangan kanak-kanak, mata juling biasanya berpunca daripada masalah rabun yang tidak dirawat. Namun, ia juga boleh disebabkan oleh gangguan saraf, kecederaan atau masalah pada otak dan rongga mata.
Bagi orang dewasa pula, mata juling mungkin berlarutan sejak kecil atau muncul secara tiba-tiba. Jika keadaan ini disertai penglihatan berganda, pemeriksaan perubatan perlu dilakukan segera bagi mengenal pasti puncanya.
Kajian antarabangsa menganggarkan sekitar dua hingga empat peratus kanak-kanak mengalami strabismus. Walaupun peratusannya kecil, jumlah sebenar melibatkan ribuan kanak-kanak, dan sebahagian besar hanya dikesan selepas prestasi pembelajaran atau keyakinan diri mula terjejas.
Risiko Mata Malas Jika Tidak Dirawat
Salah satu komplikasi utama mata juling ialah ambliopia atau lebih dikenali sebagai “mata malas”. Keadaan ini berlaku apabila otak lebih bergantung kepada mata yang mempunyai penglihatan lebih jelas, menyebabkan mata yang lemah semakin kurang digunakan.
Jika dibiarkan tanpa rawatan pada usia awal, penglihatan mata tersebut boleh merosot secara kekal.

Atas sebab itu, pemeriksaan mata awal sangat digalakkan. Kanak-kanak sebaiknya menjalani saringan penglihatan seawal usia tiga tahun dan sekali lagi sebelum memulakan persekolahan rendah.
Ibu bapa juga disaran mendapatkan pemeriksaan sekiranya:
- Anak kerap memiringkan kepala.
- Mengecilkan mata ketika melihat objek.
- Duduk terlalu dekat dengan televisyen.
- Sering mengadu sakit kepala.
Katarak Masih Menjadi Punca Utama Kehilangan Penglihatan
Selain mata juling, katarak merupakan antara masalah mata yang paling kerap dialami golongan berusia, khususnya mereka yang berumur lebih 60 tahun.
Katarak menyebabkan kanta mata menjadi keruh, sekaligus mengakibatkan penglihatan kabur, warna kelihatan pudar, silau terhadap cahaya serta kesukaran memandu pada waktu malam.
Namun begitu, individu yang menghidap diabetes, merokok atau sering terdedah kepada cahaya matahari juga berisiko mengalami katarak pada usia lebih muda.

Di Malaysia, katarak, retinopati diabetik dan glaukoma masih menjadi antara penyebab utama kehilangan penglihatan dalam kalangan orang dewasa.
Pada peringkat awal, penggunaan cermin mata mungkin membantu memperbaiki penglihatan. Namun apabila penglihatan semakin terjejas dan mengganggu aktiviti harian, pembedahan katarak biasanya menjadi pilihan rawatan yang paling berkesan.
Kini, pembedahan katarak menggunakan teknik phacoemulsification membolehkan kanta yang keruh dipecahkan menggunakan gelombang ultrabunyi melalui bukaan kecil pada mata.
Prosedur ini lazimnya mengambil masa singkat, boleh dilakukan sebagai rawatan harian dan kebanyakan pesakit mampu kembali melakukan aktiviti ringan dalam tempoh seminggu.

Gaya Hidup Turut Mempengaruhi Kesihatan Mata
Selain faktor usia, tabiat harian juga memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan mata.
Merokok, diabetes yang tidak terkawal dan pendedahan berlebihan kepada sinaran ultraviolet (UV) boleh meningkatkan risiko mendapat katarak serta penyakit mata lain.
Dalam era digital pula, penggunaan skrin yang berpanjangan menjadi antara kebimbangan utama, terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja kerana ia boleh menyumbang kepada peningkatan masalah rabun jauh.

Bagi mengurangkan keletihan mata ketika menggunakan peranti digital, pakar mengesyorkan mengamalkan kaedah 20-20-20, iaitu setiap 20 minit melihat skrin, alihkan pandangan selama 20 saat ke objek yang berada kira-kira 20 kaki (enam meter) dari anda.
Masalah mata lazimnya berkembang secara perlahan dan ramai hanya mendapatkan rawatan apabila penglihatan sudah semakin teruk.
Pakar mengesyorkan orang dewasa menjalani pemeriksaan mata bermula sekitar usia 40 tahun, manakala pesakit diabetes perlu menjalani pemeriksaan mata sekurang-kurangnya sekali setahun. Kanak-kanak pula disaran menjalani pemeriksaan sebelum memasuki alam persekolahan.