Teh Hijau, Teh Putih, Teh Oolong Semuanya Berasal Daripada Daun Yang Sama Tetapi Diproses Secara Berbeza

July 8, 2026
fakta menarik

Lina Rosli

Pernahkah anda tertanya-tanya mengapa terdapat begitu banyak jenis teh di pasaran?

Sebagai contoh, untuk teh Cina, terdapat beberapa jenis teh yang ditawarkan seperti teh hijau, teh putih sehinggalah teh Oolong, teh hitam dan Pu-er. Dan setiap teh ini menawarkan rasa, warna dan aroma yang tersendiri.

Satu fakta yang mengejutkan, walaupun dipasarkan sebagai jenis teh yang berbeza, kesemuanya sebenarnya berasal daripada tumbuhan yang sama, iaitu Camellia sinensis.

Apa yang membezakan setiap jenis teh ialah cara daun tersebut diproses selepas dituai yang mana ia menghasilkan karakter dan cita rasa yang unik.

Proses penghasilan teh yang berbeza ini merangkumi beberapa perkara termasuklah tahap pengoksidaan, kaedah pengeringan, pemanggangan dan juga proses penapaian. Dengan ini, ia akan menentukan warna, aroma, rasa serta tekstur setiap jenis teh.

Menarik, bukan? Dan disebabkan proses inilah, anda akan mendapati rasa teh hijau berbeza dengan teh hitam dan sebagainya.

Jenis-Jenis Teh Cina Di Pasaran

Berikut ialah enam jenis teh tradisional Cina yang paling dikenali.

1. Teh Hijau (Lǜ Chá)

Teh hijau merupakan teh yang tidak melalui proses pengoksidaan. Sebaik sahaja daun dipetik, ia akan dipanaskan menggunakan kaedah menggoreng di dalam kuali (pan-firing) atau dikukus bagi menghentikan proses pengoksidaan semula jadi.

Kaedah ini membantu mengekalkan warna hijau daun serta kandungan antioksidan yang tinggi. Hasilnya ialah menawarkan rasa teh yang lebih segar, sedikit berumput dan ringan.

Antara varieti paling terkenal ialah Longjing dari wilayah Zhejiang. Bagi mengekalkan aromanya, teh hijau sebaiknya diseduh menggunakan air bersuhu sekitar 70 hingga 80°C.

2. Teh Putih (Bái Chá)

Seterusnya, teh putih merupakan teh yang paling sedikit diproses. Selepas dipetik, daun hanya dibiarkan layu secara semula jadi di bawah cahaya matahari sebelum dikeringkan secara perlahan.

Proses yang minimum ini menghasilkan teh berwarna cerah dengan rasa yang lembut, manis dan sedikit seperti madu.

Salah satu varieti paling bernilai ialah Baihao Silver Needle, yang hanya menggunakan pucuk teh muda. Menariknya, teh putih juga terkenal kerana boleh disimpan dan menjadi lebih bernilai apabila usianya semakin lama.

3. Teh Kuning (Huáng Chá)

Teh kuning merupakan antara teh paling jarang ditemui. Ia diproses hampir sama seperti teh hijau, namun mempunyai satu langkah tambahan dikenali sebagai Men Huang, iaitu proses membungkus atau memerap daun dalam keadaan lembap untuk tempoh tertentu.

Proses ini mengurangkan rasa kelat yang biasa terdapat pada teh hijau dan menghasilkan minuman yang lebih lembut serta seimbang.

Varieti yang paling terkenal ialah Junshan Yinzhen, yang suatu ketika dahulu dianggap sebagai teh diraja di China.

4. Teh Oolong (Wūlóng Chá)

Mengenai teh Oolong pula, ia sering dianggap sebagai kategori teh yang kompleks. Ini disebabkan oleh tahap pengoksidaannya yang boleh berada antara 10 hingga 70 peratus.

Untuk pengetahuan anda, sewaktu memproses daun teh ini, ia perlu digoncang dan dilayukan beberapa kali bagi mengawal tahap pengoksidaannya. Dan untuk rasa teh ini, ia akan berbeza bergantung kepada tempoh proses tersebut.

Menurut pakar, teh Oolong yang kurang teroksida akan menghasilkan aroma bunga dan buah-buahan. Manakala, teh Oolong yang lebih teroksida akan menghasilkan rasa yang lebih pekat – yang mana ia mempunyai nota kayu dan panggangan yang lebih kuat.

Antara nama yang cukup terkenal ialah Tie Guan Yin dan Phoenix Dancong.

5. Teh Hitam (Hóng Chá)

Walaupun dikenali sebagai black tea dalam bahasa Inggeris, masyarakat China memanggilnya Hóng Chá atau “teh merah”. Ia merujuk kepada warna air teh yang kemerahan.

Teh ini mengalami pengoksidaan hampir sepenuhnya, sekitar 70 hingga 90 peratus. Hasilnya, ia menawarkan rasa yang lebih pahit dan pekat, tetapi mempunyai esen yang sedikit manis dan beraroma malt.

Dua varieti yang paling terkenal ialah Keemun Black Tea dan Yunnan Dianhong, yang sering menjadi pilihan peminat teh kerana rasanya yang kaya dan lebih berani.

6. Teh Gelap (Hēi Chá)

Teh gelap berbeza daripada lima kategori lain kerana ia melalui proses penapaian mikrob selepas diproses. Daun teh akan disimpan dalam keadaan suhu dan kelembapan terkawal untuk membolehkan mikroorganisma semula jadi mengubah komposisi kimianya.

Proses ini menghasilkan rasa yang lebih dalam, beraroma bumi dan semakin kompleks apabila disimpan lebih lama.

Antara teh gelap paling terkenal ialah Pu-er, yang hadir dalam dua jenis utama iaitu Sheng (raw) dan Shou (ripe), selain Hunan Fu Brick Tea.

Walaupun keenam-enam jenis teh ini berasal daripada pokok Camellia sinensis, teknik pemprosesan selepas penuaian menjadikan setiap satunya mempunyai identiti tersendiri.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd