CHAGEE Kongsi Cara Kitar Semula Beg Minuman Menjadi Pouch Serbaguna

July 10, 2026
Tips

Lina Rosli

Jika anda kerap membeli minuman CHAGEE, pastinya anda mempunyai banyak koleksi beg minumannya di rumah. Jika ya, beg tersebut tidak semestinya berakhir di dalam tong sampah.

Ini kerana baru-baru ini, CHAGEE telah berkongsikan cara dan tips mengubah beg minuman lama yang tidak digunakan ini menjadi pouch alat tulis atau pouch serbaguna dengan hanya beberapa langkah mudah.

Anda hanya memerlukan dua beg minuman CHAGEE jenis single-cup carrier bag bersama beberapa peralatan asas untuk menghasilkan sebuah pouch yang praktikal dan kemas.

Ini adalah senarai peralatan yang perlu disediakan:

  • 2 beg minuman CHAGEE (single-cup carrier bag)
  • Stapler atau pita pelekat
  • Pisau pemotong (utility cutter) atau gunting
  • Pembaris
  • Binder clip atau klip kertas

Cara membuat pouch

Langkah 1: Potong dan buka beg

  • Potong atau gunting bahagian bawah beg sehingga terbuka.
  • Potong bahagian atas tepat di bawah pemegang kain hitam.
  • Seterusnya, potong salah satu bahagian sisi supaya beg boleh dibuka menjadi sekeping panel rata.

Ulang langkah yang sama pada beg CHAGEE kedua.

Langkah 2: Susun corak

Sebelum mencantumkan kedua-dua panel:

  • Letakkan kedua-duanya bersebelahan.
  • Laraskan kedudukan sehingga corak pada bahagian luar kelihatan bersambung.
  • Pastikan panel berada dalam keadaan lurus sebelum meneruskan langkah seterusnya.

Langkah 3: Kemaskan bahagian atas dan bawah

Bagi menutup bahagian yang telah dipotong:

  • Lipat sedikit bahagian bawah ke arah dalam.
  • Ulang langkah yang sama pada bahagian atas.
  • Pastikan lipatan dibuat dengan kemas supaya bahagian dalam tidak kelihatan.

Kemudian, gunakan stapler atau pita pelekat untuk mengukuhkan kedua-dua lipatan tersebut.

Langkah 4: Bentukkan pouch

Selepas kedua-dua panel siap dikemaskan:

  • Letakkan kedua-duanya bertindih.
  • Lipat sedikit bahagian kiri dan kanan ke arah dalam sebagai kemasan tepi.
  • Staple atau jahit bahagian kiri dan kanan sehingga membentuk sebuah poket.

Pouch asas kini telah siap.

Langkah 5: Tambah ruang simpanan

Jika ingin menjadikannya lebih praktikal:

  • Staple atau jahit satu atau dua garisan menegak pada bahagian tengah pouch.
  • Setiap garisan akan membentuk ruang simpanan yang berasingan.

Dengan cara ini, pensel, pen, pen warna atau berus lukisan boleh disusun dengan lebih kemas tanpa bercampur.

Selepas siap, anda boleh menggulung pouch tersebut sebelum mengikatnya menggunakan reben atau mengepitnya dengan binder clip.

Selain mengurangkan pembaziran, projek upcycling ini turut memberi nafas baharu kepada beg CHAGEE. Hasilnya bukan sahaja menarik, malah cukup praktikal untuk kegunaan harian sama ada di sekolah, universiti atau pejabat.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd