Mengapa Kita Hilang Selera Makan Ketika Sakit?

July 10, 2026
fakta menarik

Lina Rosli

Pernahkah anda berada di situasi yang mana apabila demam, selesema atau mengalami masalah perut, anda mendapati anda tidak mempunyai selera makan. Malah, untuk kes yang lebih teruk, anda langsung tidak teringin untuk menjamah makanan walaupun sudah seharian tidak makan.

Keadaan ini sebenarnya adalah tindak balas semula jadi tubuh ketika melawan jangkitan. Menurut beberapa pakar perubatan, badan akan mengutamakan tenaga untuk sistem imun berbanding proses pencernaan dan ini secara tidak langsung menyebabkan selera makan berkurangan.

Apabila badan dijangkiti virus, bakteria atau parasit, sistem imun akan bekerja lebih keras untuk melawan jangkitan tersebut.

Dalam keadaan ini, tubuh mengalihkan sebahagian tenaga daripada proses pencernaan kepada sistem pertahanan badan.

Pada masa sama, badan turut menghasilkan bahan kimia yang dikenali sebagai sitokin (cytokines). Bahan ini membantu mengaktifkan sistem imun, namun ia juga mempengaruhi komunikasi antara usus dan otak menerusi gut-brain axis.

Akibatnya, proses pencernaan menjadi lebih perlahan dan keinginan untuk makan turut berkurangan.

Selain itu, hormon yang mengawal rasa lapar seperti ghrelin dan leptin juga boleh berubah ketika seseorang sedang sakit. Beberapa kajian menunjukkan perubahan ini mungkin membantu sistem imun berfungsi dengan lebih berkesan ketika melawan jangkitan.

Tidak hanya itu, deria bau dan rasa juga boleh terjejas, terutama ketika mengalami selesema atau influenza. Makanan yang biasanya digemari mungkin terasa hambar atau tidak menyelerakan, sekaligus menyebabkan selera makan semakin berkurangan.

Mengapa sakit perut menyebabkan hilang selera makan?

Bagi mereka yang mengalami muntah, cirit-birit atau jangkitan pada sistem pencernaan, hilang selera makan adalah perkara yang biasa berlaku.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature mendapati terdapat hubungan antara sistem imun di dalam usus dengan otak ketika berlaku jangkitan parasit.

Isyarat daripada sistem imun ini boleh mengurangkan keinginan untuk makan sebagai sebahagian daripada tindak balas semula jadi badan terhadap penyakit.

Malah, selera makan yang rendah kadangkala masih berterusan walaupun gejala seperti muntah atau cirit-birit sudah beransur pulih.

Apa yang perlu dilakukan jika hilang selera makan?

Harus diingatkan, walaupun anda tidak mempunyai selera makan, tubuh masih memerlukan air dan nutrien untuk membantu proses pemulihan.

Antara perkara yang disarankan ialah:

  • Minum air dengan mencukupi untuk mengelakkan dehidrasi.
  • Ambil minuman elektrolit atau sup jika kehilangan banyak cecair akibat demam, muntah atau cirit-birit.
  • Makan dalam kuantiti yang sedikit tetapi lebih kerap.
  • Pilih makanan yang mudah dihadam seperti bubur, sup, roti bakar, biskut kosong, pisang atau puri epal.
  • Apabila selera makan kembali, pilih makanan yang kaya dengan vitamin, mineral dan nutrien bagi membantu proses pemulihan.

Pakar turut menasihatkan supaya tidak memaksa diri mengambil hidangan yang besar jika benar-benar tidak berselera. Sebaliknya, lebih penting untuk memastikan tubuh kekal terhidrat dan mengambil sedikit makanan apabila mampu.

Bila perlu mendapatkan rawatan?

Dalam kebanyakan kes, hilang selera makan selama satu atau dua hari ketika sakit tidak membimbangkan.

Namun, anda disarankan mendapatkan pemeriksaan doktor sekiranya:

  • Tidak makan selama tiga hari atau lebih.
  • Tidak mampu minum atau mengekalkan cecair dalam badan kerana muntah berterusan.
  • Berasa terlalu lemah, pening atau hampir pitam.
  • Gejala penyakit semakin teruk atau tidak menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

Golongan seperti kanak-kanak, wanita hamil, warga emas dan individu yang mempunyai sistem imun lemah juga disarankan mendapatkan rawatan lebih awal kerana mereka lebih berisiko mengalami komplikasi akibat kekurangan nutrisi dan dehidrasi.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd