iORA Buka Butik Konsep Mercu Baharu Di Mid Valley Megamall

July 17, 2026
Fesyen

Lina Rosli

Jenama fesyen dari Singapura, iORA, kini membuka kedai konsep mercu baharunya di Mid Valley Megamall Kuala Lumpur.

Menariknya, ia merupakan cawangan pertama iORA di Malaysia yang menampilkan konsep reka bentuk runcit baharu bagi menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih moden dan selesa.

Dengan keluasan 9,408 kaki persegi, butikini direka bagi memudahkan pelanggan meneroka koleksi pakaian mengikut gaya hidup mereka melalui susun atur yang lebih terbuka dan intuitif.

Mengambil inspirasi daripada ruang galeri kontemporari, konsep baharu ini menampilkan ruang yang lebih lapang dengan laluan yang lebih luas, sekaligus memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih lancar.

Antara pembaharuan yang diperkenalkan termasuk susun atur terbuka yang memudahkan pelanggan melihat keseluruhan koleksi, ruang dalaman berinspirasikan galeri, zon pakaian yang dipisahkan mengikut kategori iORA Casual dan iORA Formal, selain ruang aksesori yang lebih besar bagi melengkapkan penampilan.

Kedai ini turut menggunakan struktur seni bina berwarna kelabu gelap sebagai elemen visual utama yang membantu mengarahkan aliran pelanggan sambil menyerlahkan identiti moden jenama tersebut.

Dari aspek kemudahan, butik ini turut dilengkapi 11 bilik persalinan, termasuk sebuah bilik yang direka khas untuk pelanggan orang kurang upaya (OKU) serta mereka yang menggunakan kereta sorong bayi.

Ruang Dibahagikan Mengikut Gaya Hidup

Bagi memudahkan pelanggan mencari koleksi yang diinginkan, kedai ini dibahagikan kepada beberapa zon utama.

New Arrivals Zone menampilkan koleksi terbaharu serta pilihan bermusim yang menjadi tumpuan utama sebaik pelanggan memasuki kedai.

iORA Casual Zone pula memfokuskan kepada pakaian kasual dan versatil untuk kegunaan harian. Buat masa ini, zon tersebut turut mengetengahkan koleksi denim terbaharu iORA yang direka untuk gaya moden dan mudah dipadankan.

Bagi mereka yang mencari pakaian lebih kemas, iORA Formal Zone menawarkan pelbagai pilihan busana dengan potongan elegan dan fabrik premium yang sesuai dipakai ke pejabat, majlis sosial mahupun acara istimewa.

Sementara itu, Accessories Zone yang diperluaskan menghimpunkan pelbagai aksesori bagi membolehkan pelanggan melengkapkan penampilan mereka dalam satu lokasi.

Pembukaan butik konsep mercu baharu ini turut menandakan permulaan konsep runcit baharu iORA di Malaysia, yang dijangka menjadi inspirasi kepada pembangunan cawangan-cawangan jenama itu pada masa akan datang.

Bagi yang ingin melihat sendiri konsep baharu ini, kedai flagship iORA kini dibuka kepada orang ramai di LOT F-JA2B, Mid Valley Megamall.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd