Carlo Rino Memperkenalkan Koleksi Eau de Parfum Baharu Tersendiri
Lina Rosli
Carlo Rino memperluaskan penawaran produknya menerusi pelancaran koleksi Eau de Parfum yang menampilkan enam pilihan wangian tersendiri, direka untuk melengkapkan gaya hidup serta personaliti wanita moden.
Lebih dikenali menerusi koleksi beg tangan, kasut dan aksesori, Carlo Rino kini membawa identiti jenama itu ke dalam dunia haruman dengan memperkenalkan wangian yang bukan sahaja elegan, malah sesuai dipakai mengikut pelbagai suasana, mood dan acara.

Setiap haruman dalam koleksi ini dirumus menggunakan kepekatan minyak pati yang lebih tinggi – ini menjadikan aroma yang lebih tahan lama dan mampu bertahan dari siang hingga ke malam.
Koleksi ini terdiri daripada enam pilihan Eau de Parfum yang masing-masing mempunyai karakter tersendiri.
Antaranya, The One menampilkan gabungan floral, woody dan musk yang sesuai buat wanita yang yakin dan ingin meninggalkan impresi yang elegan. Manakala untuk pilihan It’s Me pula mengetengahkan aroma floral aquatic yang segar, sesuai bagi mereka yang mahu menyerlahkan keperibadian asli.

Bagi pencinta wangian ringan untuk kegunaan harian, 25° menawarkan haruman yang menyegarkan dengan karakter yang ceria dan santai.
Sementara itu, Spring menggabungkan nota bunga dan buah-buahan yang diinspirasikan daripada suasana musim bunga dan permulaan baharu. Seterusnya, Rose pula memberi sentuhan feminin menerusi gabungan pic, daun hijau dan bunga ros yang klasik.
Melengkapkan koleksi ialah In Love, haruman lembut yang menggabungkan nota floral, pear dan bayu laut, sesuai untuk mereka yang menggemari wangian romantik dan menenangkan.

Dengan pelancaran koleksi Eau de Parfum ini, Carlo Rino terus mengembangkan jenamanya sebagai jenama gaya hidup yang bukan sahaja menawarkan aksesori fesyen, malah produk yang menjadi pelengkap kepada gaya dan ekspresi diri wanita.
Bagi yang berminat, koleksi Carlo Rino Eau de Parfum kini boleh didapati pada harga bermula RM139 di semua butik Carlo Rino di seluruh negara serta melalui laman web rasmi jenama tersebut.