Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra, Galaxy Z Fold8 Dan Galaxy Z Flip8 Dilancarkan Dengan Rekaan Lebih Nipis

July 23, 2026
Gajet Dan Teknologi

Lina Rosli

Di acara Unpacked 2026 ini, Samsung secara rasmi memperkenalkan generasi baharu telefon boleh lipatnya menerusi Galaxy Z Fold8 Ultra, Galaxy Z Fold8 dan Galaxy Z Flip8.

Siri baharu ini tampil dengan rekaan lebih nipis, prestasi yang dipertingkat serta pengalaman AI yang lebih pintar untuk memenuhi keperluan produktiviti, hiburan dan penciptaan kandungan.

Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra Tampil Sebagai Model Paling Premium

Untuk model Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra, ia hadir dengan paparan utama 8.0 inci dan paparan luar 6.5 inci – yang mana saiz skrin ini sama dengan model Galaxy Fold7 sebelum ini.

Tetapi yang membezakannya adalah ketebalan peranti yang kini hanya 8.9mm apabila dilipat dan 4.1mm apabila dibuka – dengan berat 215 gram.

Dari segi prestasi, Galaxy Z Fold8 Ultra dikuasakan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy. Ia turut dilengkapi sistem kamera yang terdiri daripada kamera utama 200MP, kamera ultra lebar 50MP dan kamera telefoto 10MP.

Model ini juga merupakan satu-satunya dalam siri Galaxy Z baharu yang menyokong Advanced Professional Video (APV) Codec, sekaligus menawarkan pengalaman rakaman video yang lebih profesional.

Bagi ketahanan, bahagian hadapan menggunakan Corning Gorilla Glass Ceramic 3, manakala panel belakang dilindungi Corning Gorilla Glass Victus 2.

Melengkapkan peranti adalah kapasiti bateri sebesar 5,000mAh yang mampu dicas sehingga 67% dalam tempoh 30 minit.

Varian Baharu Dalam Keluarga Boleh-Lipat – Galaxy Z Fold8

Sementara untuk Samsung Galaxy Z Fold8 pula, ia hadir dengan paparan utama 7.6 inci dan paparan luar 5.5 inci. Dan kedua-duanya menyokong kadar segar semula 120Hz.

Telefon ini turut menggunakan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy serta hadir dengan rekaan setebal 9.7mm ketika dilipat dan 4.5mm apabila dibuka. Dari segi berat, peranti ini menampilkan berat hanya 201 gram.

Melengkapkan peranti adalah sistem kamera belakang terdiri daripada kamera utama 50MP dan kamera ultra lebar 50MP.

Dari segi ketahanan bateri, Samsung Galaxy Z Fold8 dilengkapi bateri berkapasiti 4,800mAh dengan sokongan pengecasan sehingga 63% dalam masa 30 minit.

Seperti model Ultra, Galaxy Z Fold8 menggunakan Corning Gorilla Glass Ceramic 3 pada bahagian hadapan dan Corning Gorilla Glass Victus 2 pada panel belakang.

Samsung Galaxy Z Flip8 Kini Dengan Cip Exynos 2600

Bagi mereka yang menggemari telefon boleh lipat kompak, Samsung Galaxy Z Flip8 tampil dengan paparan utama 6.9 inci serta skrin luar FlexWindow 4.1 inci.

Model ini menggunakan cip Exynos 2600 dan dipadankan dengan kamera utama 50MP bersama kamera ultra lebar 12MP.

Skrinnya turut menawarkan tahap kecerahan sehingga 2,600 nits untuk paparan yang lebih jelas di bawah cahaya terang.

Galaxy Z Flip8 dibekalkan bateri 4,300mAh dengan sokongan pengecasan 25W berwayar dan 15W tanpa wayar.

Dari segi binaan, panel belakang menggunakan material GFRP, manakala tingkap kameranya dilindungi Gorilla Glass 3.

Tiada Lagi Sokongan S Pen

Dalam acara ini juga, Samsung turut mengesahkan bahawa Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra dan Samsung Galaxy Z Fold8 tidak lagi menyokong penggunaan S Pen. Ketiga-tiga model juga menjalankan One UI 9 berasaskan Android 17.

Bagi yang berminat, Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra ditawarkan dalam pilihan Violet Shadow, Graphite, Cream dan Green Shadow (eksklusif dalam talian).

Manakala Samsing Galaxy Z Fold8 pula hadir dalam warna Lavender, Graphite, Cream dan Pistachio (eksklusif dalam talian).

Sementara itu, Samsung Galaxy Z Flip8 boleh didapati dalam pilihan Pink, Graphite, Cream dan Mint (eksklusif dalam talian).

Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra16+1TB – RM10,499
12+512GB – RM8,899
12+256GB – RM8,099
Samsung Galaxy Z Fold8
16+1TB – RM9,699
12+512GB – RM8,099
12+256GB – RM7,299
Samsung Galaxy Z Flip812+512GB – RM6,199
12+256GB – RM5,399

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd