TOPTEN10 Buka Cawangan Kedua Di 1 Utama Shopping Centre

July 29, 2026
Fesyen

Lina Rosli

TOPTEN10 kini mula memperluaskan kehadirannya di Malaysia menerusi pembukaan cawangan kedua mereka di 1 Utama Shopping Centre — yang bakal dibuka pada 31 Julai ini.

Dengan kehadiran cawangan baharu ini, ia membolehkan lebih ramai pengguna di Lembah Klang mendapatkan koleksi pakaian harian jenama dari Korea Selatan itu yang menekankan aspek keselesaan, fungsi dan gaya.

Bagi yang tidak mengetahui, TOPTEN10 diasaskan di Seoul pada tahun 2012 di bawah Shinsung Tongsang Co., Ltd. Jenama ini memberi tumpuan kepada penghasilan pakaian yang mengutamakan keselesaan, fungsi, ketahanan dan rekaan yang sesuai untuk kegunaan harian.

Di Malaysia, TOPTEN10 hadir dengan variasi kategori pakaian termasuklah pakaian harian yang selesa, praktikal dan mudah digayakan untuk lelaki, wanita serta kanak-kanak pada harga yang berpatutan.

Bukan itu sahaja, jenama ini turut hadir dengan beberapa teknologi fabrik untuk koleksi pakaian mereka seperti COOL-Air Collection yang menggunakan teknologi penyejukan pada bahagian dalam fabrik bagi memberikan rasa lebih nyaman ketika dipakai.

Koleksi ini merangkumi pelbagai pilihan seperti kemeja-T, baju polo, tank top, baju lengan panjang serta pakaian dalam COOL-Air Innerwear yang diperbuat daripada fabrik ringan, bernafas serta mempunyai ciri menyerap dan mengeringkan kelembapan dengan pantas.

TOPTEN10 turut menawarkan UV Protection Collection, termasuk jaket Pocketable UV Protection Windbreaker yang dilengkapi perlindungan UPF50+, fabrik kalis percikan air dan reka bentuk yang boleh dilipat untuk memudahkan ia dibawa ketika berulang-alik, melancong atau melakukan aktiviti luar.

Selain itu, Super Stretch Collection pula menampilkan seluar dengan fabrik regangan empat arah yang memberikan kebebasan bergerak tanpa mengorbankan penampilan yang kemas, sesuai dipakai untuk bekerja, bersantai atau mengembara.

Sempena pembukaan cawangan baharu di 1 Utama, TOPTEN10 akan mengadakan promosi selama 10 hari bermula 31 Julai hingga 9 Ogos 2026.

Bagi yang berminat untuk menerokai cawangan baharu TOPTEN10, butik mereka terletak di Lot S305, Tingkat 2, Highstreet, 1 Utama Shopping Centre dan beroperasi setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd