Kapal Terbang Emirates Dilengkapi U-Dream Headrest – Ciri Sokongan Kepala Untuk Penumpang Kelas Ekonomi

July 29, 2026
Gaya Hidup

Lina Rosli

Bagu-baru ini, Emirates dilihat hadir dalam menawarkan pengalaman penerbangan yang lebih selese menerusi pengenalan U-Dream Headrest, ciri sokongan kepala baharu untuk penumpang kelas ekonomi.

Inovasi ini direka bagi meningkatkan keselesaan ketika penerbangan, khususnya bagi penumpang yang ingin berehat atau tidur dalam perjalanan jarak jauh.

Untuk pengetahuan anda, U-Dream Headrest akan diperkenalkan secara berperingkat pada pesawat Emirates, bermula dengan Airbus A350 pada tahun ini.

Ciri tersebut juga akan dipasang pada pesawat Boeing 777X, diikuti pesawat Airbus A380 dan Boeing 777 yang dinaik taraf bermula tahun 2027.

Dibangunkan sebagai sebahagian daripada tempat duduk Z400 keluaran Safran Seats, U-Dream Headrest menggunakan kemasan kulit lembut dengan bahagian sisi yang boleh dilaraskan bagi menyokong kepala dan leher ketika tidur. Reka bentuknya juga boleh dilaraskan dari segi ketinggian dan sudut mengikut keselesaan serta bentuk badan setiap penumpang.

Melalui rekaan ini, penumpang tidak lagi perlu bergantung kepada bantal leher kerana sokongan tambahan membantu mengurangkan keadaan kepala terjatuh ke hadapan atau ke sisi ketika tidur.

Bukan itu sahaja, U-Dream Headrest turut telah melepasi ujian keselamatan dan mendapat pengesahan daripada European Union Aviation Safety Agency (EASA).

Selain memperkenalkan U-Dream Headrest, Emirates turut terus memperkukuh pengalaman penerbangan menerusi pelbagai kemudahan lain dalam kelas ekonomi.

Antaranya termasuk sistem hiburan dalam penerbangan ice yang menawarkan lebih 6,500 saluran kandungan, merangkumi filem, siri TV, muzik, podcast serta siaran sukan secara langsung.

Penumpang juga boleh menikmati sambungan internet berkelajuan tinggi melalui Starlink, yang sedang diperluaskan ke seluruh armada Emirates.

Dari segi tempat duduk, pesawat Airbus A350 terbaharu menawarkan susun atur 3-3-3, skrin hiburan 4K bersaiz 13.3 inci, pengecas USB-C serta ruang kabin yang lebih luas bagi meningkatkan keselesaan sepanjang perjalanan.

Emirates turut menyediakan hidangan percuma untuk semua penerbangan tanpa mengira tempoh perjalanan, selain menawarkan menu khas bagi memenuhi keperluan diet tertentu.

Syarikat penerbangan itu juga menyediakan kit kemudahan untuk penerbangan jarak jauh, kandungan hiburan khusus untuk kanak-kanak serta pelbagai kemudahan mesra keluarga.

Dengan pengenalan U-Dream Headrest ini, ia secara tidak langsung mencerminkan komitmen Emirates dalam meningkatkan pengalaman perjalanan penumpang kelas ekonomi, sekaligus menetapkan penanda aras baharu bagi keselesaan dalam penerbangan komersial.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd