Barangan Midea Boleh Dibeli Di 99 Speed Mart Mulai Ogos 2026

July 29, 2026
Keperluan Rumah

Lina Rosli

Midea Malaysia mengumumkan kerjasama strategik bersama 99 Speed Mart bagi memperluaskan akses pengguna kepada rangkaian perkakas rumahnya di seluruh negara.

Menerusi kerjasama ini, pelanggan boleh mendapatkan pelbagai perkakas rumah kecil Midea dengan lebih mudah di cawangan 99 Speed Mart di seluruh negara – iaitu di lebih 3,100 cawangan 99 Speed Mart di Malaysia bermula Ogos 2026.

Antara produk yang akan ditawarkan termasuk pengisar, cerek elektrik, periuk nasi, kipas, pembakar roti, ketuhar pembakar roti, vakum dan dapur elektrik.

Sebelum ini, Midea telah membuka 18 Midea Brand Store di seluruh Malaysia. Penambahan saluran jualan melalui 99 Speed Mart dijangka mengukuhkan lagi kehadiran jenama itu di pasaran tempatan.

Kerjasama ini juga merupakan sebahagian daripada strategi Power of One yang diperkenalkan Midea di rantau Asia Pasifik. Strategi tersebut memberi tumpuan kepada inovasi produk, pengembangan rangkaian runcit serta peningkatan pengalaman pelanggan bagi menyokong sasaran pertumbuhan syarikat di rantau ini.

Dengan penawaran di lebih 3,100 cawangan 99 Speed Mart, Midea berharap dapat memperluaskan lagi akses kepada perkakas rumah pintar dan cekap tenaga, sekali gus memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat terhadap produk untuk kediaman moden.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd