Terokai Keunikan Malaysia Melalui 6 Hidangan Tradisional Dari Setiap Negeri

August 3, 2026
destinasi

Lina Rosli

Malaysia terkenal sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian budaya, dan keunikan itu turut terserlah menerusi makanan tradisional yang menjadi identiti setiap negeri.

Walaupun hidangan seperti nasi lemak, roti canai, sate dan char kuey teow sudah sinonim dengan rakyat Malaysia, masih banyak sajian tempatan yang kurang dikenali tetapi mempunyai keistimewaan tersendiri.

Setiap hidangan bukan sekadar menawarkan rasa yang unik, malah turut membawa kisah sejarah, budaya dan warisan masyarakat yang diwarisi dari satu generasi ke generasi berikutnya.

Jika anda merancang percutian dalam negara, luangkan masa untuk menikmati hidangan tradisional di setiap negeri kerana setiap satunya menawarkan pengalaman kulinari yang berbeza.

Masak Lemak Cili Api Itik Salai, Negeri Sembilan

Masak Lemak Cili Api Itik Salai merupakan antara hidangan tradisional yang cukup sinonim dengan Negeri Sembilan. Hidangan ini menggabungkan daging itik salai yang dimasak sehingga empuk bersama kuah santan pekat yang diperkaya dengan kunyit dan cili api, menghasilkan gabungan rasa pedas, lemak dan aroma salai yang cukup menyelerakan.

Keistimewaan hidangan ini terletak pada penggunaan teknik menyalai daging yang suatu ketika dahulu digunakan sebagai kaedah mengawet makanan. Selepas kedatangan masyarakat Minangkabau ke Negeri Sembilan, teknik tersebut digabungkan dengan masakan berasaskan santan dan cili api, sekaligus melahirkan hidangan yang kini menjadi antara kebanggaan negeri berkenaan.

Untuk pengetahuan anda, Masak Lemak Cili Api Itik Salai boleh dinikmati di beberapa daerah seperti Seremban, Tampin dan Kuala Pilah yang masih mengekalkan resipi tradisional sehingga hari ini.

Sambal Hitam Belimbing Buluh, Pahang

Sambal Hitam Belimbing Buluh merupakan antara makanan tradisional yang paling dikenali di Pahang. Walaupun tampil dengan warna hitam yang unik, hidangan ini menawarkan gabungan rasa masam, pedas dan lemak yang menjadi kegemaran ramai.

Belimbing buluh direbus selama beberapa jam sehingga menjadi pes pekat sebelum dimasak bersama cili api, bawang dan ikan bilis.

Pada asalnya, sambal ini dihasilkan sebagai kaedah untuk memanfaatkan lebihan hasil tanaman. Kini, ia bukan sahaja menjadi hidangan pelengkap ketika makan, malah turut dijual sebagai buah tangan yang sering dibawa pulang oleh pelancong.

Pek Nga, Kedah

Bagi masyarakat Kedah, Pek Nga merupakan antara hidangan sarapan tradisional yang masih digemari sehingga kini. Lempeng kelapa ini dihasilkan daripada adunan tepung dan kelapa parut sebelum dimasak di atas kuali sehingga keperangan.

Berbeza dengan pankek moden yang lazimnya dinikmati bersama sirap atau mentega, Pek Nga dihidangkan bersama kari ikan, sambal ikan bilis atau ikan masin.

Bagi anda yang ingin mencuba, anda boleh berkunjung ke gerai-gerai sarapan di sekitar Alor Setar untuk menikmati rasa asli Pek Nga.

Laksam, Kelantan

Kelantan terkenal dengan pelbagai hidangan berasaskan ikan, dan Laksam merupakan antara makanan yang paling popular di negeri itu.

Berbeza dengan laksa di negeri-negeri lain, Laksam menggunakan mi tepung beras yang digulung tebal dan dihidangkan bersama kuah putih berasaskan isi ikan, santan, bawang merah dan lada hitam.

Hidangan ini biasanya dilengkapkan dengan ulam-ulaman segar, taugeh serta sambal bagi menambahkan rasa dan tekstur.

Untuk mencubanya, pengunjung boleh menikmati Laksam asli di Pasar Besar Siti Khadijah – ia merupakan destinasi terkenal yang menyajikan variasi makanan tradisional di Kelantan.

Umai, Sarawak

Umai merupakan hidangan tradisional masyarakat Melanau di Sarawak yang sering dibandingkan dengan ceviche kerana menggunakan isi ikan segar yang diperap tanpa dimasak menggunakan api.

Untuk menyediakan Umai, ia memerlukan isi ikan diperap dengan jus limau sebelum digaul bersama bawang merah, cili dan sedikit garam. Sesetengah penyedia turut menghidangkannya bersama sagu goreng yang rangup bagi menambah tekstur hidangan.

Rasanya yang segar serta sedikit masam menjadikan Umai pilihan popular, khususnya di kawasan pesisir pantai.

Tuaran Mee, Sabah

Sabah turut mempunyai hidangan mi yang cukup terkenal, iaitu Tuaran Mee. Berasal dari pekan Tuaran, hidangan ini menggunakan mi telur buatan tangan yang dicelur sebelum digoreng menggunakan api besar sehingga menghasilkan tekstur yang kenyal dengan aroma yang sedikit garing.

Tuaran Mee lazimnya dihidangkan bersama hirisan daging, sayur-sayuran dan telur, menjadikannya hidangan yang ringkas tetapi kaya dengan rasa.

Sejak diperkenalkan pada awal tahun 1950-an, ia terus menjadi antara makanan ikonik Sabah dan sering menjadi pilihan pengunjung yang ingin menikmati hidangan tempatan.

Setiap negeri di Malaysia mempunyai hidangan tradisional yang mencerminkan sejarah, budaya dan identiti masyarakat setempat.

Makanan tempatan ini bukan sahaja memberikan pengalaman menikmati pelbagai cita rasa, malah membuka peluang untuk mengenali warisan yang telah dipelihara sejak sekian lama.

Bagi mereka yang gemar mengembara sambil mencari pengalaman kulinari, Malaysia Food Map oleh redBus boleh dijadikan sebagai panduan untuk menemui pelbagai hidangan tradisional di seluruh negara.

Ia memudahkan pelancong merancang perjalanan sambil menikmati keunikan makanan yang menjadikan setiap negeri di Malaysia mempunyai identitinya yang tersendiri.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd