Panasonic Beauty Memperkenalkan Produk Penjagaan Rambut nanocare Baharu Di KLFW 2026

August 7, 2026
Kecantikan

Lina Rosli

Pada tahun ini, nampaknya Panasonic Beauty memilih pentas Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 untuk memperkenalkan dua produk penjagaan rambut premium terbaharu mereka, iaitu nanocare Hair Dryer EH-NB70 dan nanocare Hair Straightener EH-HN30.

Bagi yang tidak mengetahui, ia merupakan penampilan sulung untuk kedua-dua produk bagi peringkat global – yang mana ia diperkenalkan menerusi kolaborasi bersama pereka fesyen tempatan, Min Luna.

Pengering Rambut Dengan Fokus Kepada Kesihatan Kulit Kepala

Panasonic nanocare Hair Dryer EH-NB70 hadir sebagai pengering rambut nanocare paling kompak pernah dihasilkan oleh Panasonic. Berbeza daripada pengering rambut biasa, model ini dibangunkan dengan memberi penekanan terhadap penjagaan kulit kepala kerana ia dianggap sebagai asas kepada pertumbuhan rambut yang lebih sihat.

EH-NB70 menggunakan teknologi nanoe MOISTURE+ yang menghasilkan sehingga 18 kali lebih banyak kelembapan berbanding teknologi nanoe konvensional. Teknologi ini membantu melembapkan rambut dan kulit kepala sambil mengurangkan penghasilan sebum berlebihan.

Bagi melengkapkan pengalaman penggunaan, EH-NB70 turut dilengkapi Scalp Mode untuk mengeringkan kulit kepala secara lembut serta Skin Mode yang membantu melembapkan kulit wajah selepas mandi.

Sensor suhu pintar pula mengawal tahap haba bagi mengurangkan kerosakan akibat suhu tinggi, manakala motor BLDC berkelajuan tinggi memastikan proses pengeringan lebih pantas tanpa menyebabkan rambut mudah kusut.

Pelurus Rambut Dengan Penjagaan Kelembapan Rambut

Turut diperkenalkan ialah Panasonic nanocare Hair Straightener EH-HN30, yang direka untuk membantu mengekalkan kelembapan semula jadi rambut ketika proses meluruskan atau menggayakan rambut.

Peranti ini menggunakan teknologi nanoe bersama 3D Smooth Plate, yang direka untuk mencengkam setiap helaian rambut dengan lebih sekata supaya proses meluruskan menjadi lebih lancar dari akar hingga ke hujung rambut.

EH-HN30 turut dipadankan dengan pemanas seramik yang mengagihkan haba secara sekata, membolehkan pengguna memperoleh hasil penggayaan yang kemas pada suhu lebih rendah. Pendekatan ini membantu mengurangkan geseran serta meminimumkan kerosakan haba terhadap kutikel rambut.

Selain menghasilkan rambut lurus, alat ini juga boleh digunakan untuk menghasilkan ikal lembut. Ia turut menyokong voltan universal 100V hingga 240V, menjadikannya sesuai dibawa ketika melancong.

Bagi yang berminta, Panasonic nanocare Hair Dryer EH-NB70 akan ditawarkan dalam pilihan warna Amber Black dan Sheer Beige, manakala nanocare Hair Straightener EH-HN30 hadir dalam warna Sheer Beige.

Kedua-dua produk dijangka mula dijual di Malaysia pada awal September 2026 menerusi Panasonic Brand Store, pengedar sah serta Panasonic Official Store di platform edagang rasmi mereka pada harga:

  • Panasonic nanocare Hair Dryer EH-NB70RM1,399
  • Panasonic nanocare Hair Straightener EH-HN30RM699

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd