Honda Prelude 2026: 3 Pemilik Kongsi Kisah Di Sebalik Sports Coupe Idaman Mereka
Lina Rosli
Bagi sesetengah pemilik kereta, membeli sebuah kenderaan bukan sekadar soal spesifikasi atau prestasi – tetapi kenangan, impian lama dan hubungan yang terbina dengan sesebuah jenama.
Itulah yang dikongsi oleh tiga pemilik Honda Prelude Baharu yang diraikan Honda Malaysia menerusi sebuah acara penghargaan khas baru-baru ini.
Masing-masing datang daripada latar belakang berbeza, namun berkongsi minat terhadap sports coupe ikonik Honda tersebut.

Honda Prelude, Kereta Idaman Sejak Dulu
Antara pemilik terawal Prelude Baharu ialah Gan Ker Beng, seorang usahawan dari Johor Bahru yang sudah mempunyai sejarah panjang bersama Honda.
Beliau memiliki Honda Civic sejak tahun 1990-an dan pada ketika itu sudah menyimpan impian untuk memiliki Prelude. Namun, impian tersebut hanya menjadi kenyataan selepas Honda mengumumkan kepulangan model berkenaan ke Malaysia.

Bagi Gan, tarikan utama Prelude bukan semata-mata pada kelajuan atau angka prestasinya. Sebaliknya, nama Prelude, kenangan lama dan hubungannya dengan Honda menjadi sebab utama model ini begitu istimewa buatnya.
Mahukan Keseronokan Memandu dan Keselesaan
Pemilik kedua, Wahiduzaman Abu Kashim, merupakan seorang ahli perniagaan dari Kuala Lumpur dan peminat Honda sejak sekian lama.
Selepas memiliki beberapa model berorientasikan prestasi Honda, beliau kini mencari sebuah kereta yang dapat menggabungkan keseronokan memandu dengan keselesaan untuk kegunaan harian.

Prelude menjadi pilihannya selepas beliau merasai sendiri pengalaman pemanduan model tersebut.
Antara ciri yang menarik perhatiannya ialah S+ Shift Technology, yang memberikan rasa pertukaran gear lebih responsif dan pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan apabila diperlukan.
Impian Memiliki Sports Coupe Merah
Bagi Dr. Davina Navreet Kaur, seorang endodontis, Prelude pula merupakan kereta Honda pertamanya.
Minatnya terhadap model ini bermula sejak kecil apabila sering melihat Prelude klasik di sekitar kawasan Subang. Pada masa sama, beliau turut menyimpan impian untuk memiliki sebuah sports coupe berwarna merah sejak zaman remaja.

Sebaik sahaja Prelude Baharu dilancarkan, beliau terus tertarik dengan reka bentuk dan teknologi hibrid yang ditawarkan sehingga membuat tempahan tanpa perlu menjalani pandu uji terlebih dahulu.
Menurut Davina, reka bentuk Prelude yang ringkas tetapi mempunyai karakter tersendiri turut menjadi antara perkara yang membuatkannya tertarik kepada model ini.
Legasi Prelude Dalam Era Elektrifikasi
Kisah tiga pemilik ini memperlihatkan bagaimana sebuah model ikonik boleh membawa makna yang berbeza kepada setiap individu.
Honda Prelude Baharu menggabungkan legasi prestasi Honda dengan teknologi elektrifikasi menerusi sistem hibrid, sekaligus hadir sebagai sebuah grand tourer yang memberi tumpuan kepada pengalaman pemanduan.

Model ini turut dilengkapi S+ Shift Technology, teknologi yang diperkenalkan buat pertama kali oleh Honda Malaysia bagi memberikan pengalaman pemanduan yang lebih responsif dan menyeronokkan.
Sebagai model terbaharu dalam rangkaian hibrid Honda Malaysia, Prelude Baharu melengkapkan pilihan kenderaan hibrid syarikat dalam segmen sedan, hatchback dan SUV.