Nestlé Malaysia Memperluaskan Usaha Kitar Semula Menerusi Nestlé KITAR

August 13, 2026
Gaya Hidup

Lina Rosli

Kitar semula mungkin nampak seperti perkara kecil, tetapi apabila dilakukan secara konsisten oleh lebih banyak isi rumah, impaknya boleh menjadi besar.

Menyedari kepentingan ini, Nestlé Malaysia kini memperluas usaha kitar semula komuniti menerusi pelancaran Nestlé KITAR, platform baharu yang dibangunkan daripada kejayaan Projek SAVE.

Nestlé KITAR merupakan kesinambungan kepada Projek SAVE atau ‘Asingkan’, ‘Elakkan’, ‘Hargai’, ‘Didik’, yang diperkenalkan pada 2020 sebagai inisiatif Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (EPR) sukarela terbesar di Malaysia.

Platform baharu ini diperkenalkan bagi memudahkan komuniti mendapatkan perkhidmatan kutipan bahan kitar semula, di samping meningkatkan pendidikan dan kesedaran mengenai kepentingan mengasingkan sisa dari punca.

Sepanjang lebih enam tahun pelaksanaannya, Projek SAVE telah berkembang dan kini meliputi sekitar 270,000 isi rumah di sembilan bandar raya.

Program ini menyediakan perkhidmatan kutipan bahan kitar semula secara berkala sambil menggalakkan orang ramai mengasingkan bahan buangan yang boleh dikitar semula di rumah.

Setakat ini, Projek SAVE telah berjaya memperoleh semula dan mengitar semula 50,000 tan bahan kitar semula bercampur kering, termasuk kira-kira 32,000 tan plastik.

Menerusi Nestlé KITAR, usaha tersebut akan diperluas dengan memberi lebih banyak ruang kepada komuniti untuk terlibat dalam amalan kitar semula secara konsisten.

Lebih 95% Pembungkusan Nestlé Malaysia Boleh Dikitar Semula

Nestlé KITAR merupakan sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh Nestlé Malaysia dalam mengurangkan penggunaan plastik baharu dan meningkatkan penggunaan bahan kitar semula.

Pada 2025, sebanyak 95.6% pembungkusan Nestlé Malaysia telah direka bentuk supaya boleh dikitar semula.

Antara usaha yang telah diperkenalkan termasuk penggunaan botol daripada plastik kitar semula berkualiti tinggi atau rPET bagi rangkaian minuman sedia diminum (RTD).

Nestlé turut menggantikan mangkuk dan cawan plastik dengan alternatif berasaskan kertas bagi kategori produk tertentu, selain menjadi syarikat pertama di Malaysia yang beralih sepenuhnya kepada straw kertas untuk rangkaian produk UHT.

Langkah tersebut telah membantu mengelakkan lebih 1.2 bilion straw plastik daripada berakhir di alam sekitar setakat ini.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd