NESH Glacier Gabungkan Mesin Air Dan Pembuat Ais Dalam Satu Peranti Kompak

August 13, 2026
Keperluan Rumah

Lina Rosli

Bagi kediaman moden, satu peranti yang boleh menyediakan air panas, air sejuk dan ais pastinya lebih praktikal, terutama apabila ruang di dapur semakin terhad.

Oleh itu, NESH Malaysia memperkenalkan Glacier, mesin air dan pembuat ais kompak yang turut diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai mesin air dan pembuat ais terkecil di Malaysia.

Untuk pengetahuan anda, Glacier menggabungkan sistem penapisan air, pembuatan ais, kawalan suhu serta ciri kebersihan pintar dalam satu reka bentuk yang kompak.

Antara ciri yang ditawarkan termasuk fungsi pembuatan ais sekali sentuh, yang membolehkan ais dihasilkan dengan mudah. Ia turut menyediakan air sejuk pada suhu serendah 2°C, selain ais berbentuk peluru jernih yang direka untuk mencair dengan lebih perlahan.

Bagi air panas pula, suhu boleh dilaraskan antara 40°C hingga 95°C, sesuai untuk pelbagai kegunaan seperti menyediakan minuman panas, kopi, teh, makanan segera dan susu bayi.

Glacier juga dilengkapi fungsi pemanasan segera, dengan air panas boleh disediakan dalam masa sekitar tiga saat tanpa perlu menunggu lama.

Selain menyediakan air pada suhu berbeza, Glacier turut mempunyai sistem penapisan yang direka untuk membantu meningkatkan kualiti air.

Sistem penapisan dwinya membantu menyingkirkan sedimen, karat, logam berat dan kekotoran, selain mengurangkan kandungan klorin serta bau yang kurang menyenangkan.

Bukan itu sahaja, Glacier turut menawarkan fungsi penambahan mineral, termasuk silika, ke dalam air yang telah ditapis.

Bagi menambah aspek kebersihan, teknologi pensterilan UV digunakan untuk membantu mengurangkan bakteria dalam sistem air.

Seterusnya, satu lagi ciri yang menarik ditawarkan ialah fungsi pembersihan automatik sekali sentuh.

Dengan satu sentuhan, sistem ini direka untuk membersihkan saluran air dan tangki secara automatik. Fungsi tersebut membantu mengurangkan pembentukan kerak, kekotoran dan bakteria, sekali gus memudahkan proses penyelenggaraan harian.

Penapis Glacier juga boleh diganti sendiri tanpa memerlukan khidmat juruteknik, menjadikan proses penyelenggaraan lebih mudah untuk pengguna.

Raih Pengiktirafan Malaysia Book of Records

Pelancaran Glacier turut menjadi detik penting buat NESH Malaysia apabila produk tersebut menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai mesin air dan pembuat ais terkecil di Malaysia.

Pengiktirafan ini mencerminkan usaha NESH dalam menggabungkan pelbagai fungsi dalam reka bentuk yang lebih kompak, sekaligus menawarkan pilihan untuk pengguna yang mementingkan penggunaan ruang di kediaman.

Bagi yang berminat, NESH Glacier (All-in-One, Beyond Expectation) ditawarkan pada harga bermula RM7,976.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd