UNIQLO Melancarkan Koleksi Hijab Pertama Di Malaysia, Hadir Dengan Tiga Pilihan Fabrik
Lina Rosli
UNIQLO kini memperluaskan rangkaian LifeWear untuk wanita di Malaysia menerusi koleksi hijab pertamanya, yang direka dengan mengutamakan keselesaan, fungsi dan gaya untuk pelbagai rutin harian.
Koleksi ini menampilkan tiga pilihan hijab menggunakan fabrik berbeza, iaitu AIRism UV Protection, Georgette dan Satin.
Setiap satunya direka untuk memenuhi keperluan serta gaya pemakaian yang berbeza, daripada aktiviti harian hinggalah acara yang lebih formal.

Tiga Hijab Untuk Gaya Dan Keperluan Berbeza
Bagi mereka yang mahukan hijab untuk kegunaan harian, AIRism UV Protection Hijab menjadi pilihan yang lebih berorientasikan fungsi. Menggunakan fabrik yang lembut dan mudah bernafas, hijab ini mempunyai ciri menyerap peluh, cepat kering serta perlindungan UV.
Ia juga memberikan rasa sejuk pada kulit, menjadikannya sesuai untuk rutin harian, perjalanan dan aktiviti yang lebih aktif.

Sementara itu, Georgette Hijab menawarkan fabrik yang ringan dan mudah digayakan untuk pelbagai penampilan. Ia mempunyai kemasan lembut, tidak jarang serta mudah dijaga.
Fabriknya turut mempunyai ciri mudah bernafas, menyerap peluh dan cepat kering, menjadikannya sesuai dipakai untuk ke pejabat, perjalanan atau aktiviti harian.

Untuk penampilan yang lebih kemas dan elegan, Satin Hijab hadir dengan kemasan berkilau yang memberikan sentuhan lebih sofistikated.
Walaupun ringan dan tidak jarang, fabrik ini turut mengekalkan ciri bernafas, menyerap peluh dan cepat kering. Ia sesuai untuk dipadankan dengan pakaian ke pejabat, majlis makan malam, sambutan serta acara istimewa.

Bagi memperkenalkan koleksi ini, UNIQLO turut menampilkan tiga personaliti wanita Malaysia sebagai muse, iaitu Yuna, Qasrina Karim dan Erysha Emyra.