IPC Gourmet Hall Bakal Dibuka Disember 2026, Himpunkan 39 Jenama Makanan Dan Minuman
Lina Rosli
Pusat Beli-Belah IPC bakal menambah satu lagi tarikan baharu buat pengunjung menerusi IPC Gourmet Hall, destinasi makanan dan minuman yang dijadualkan dibuka pada Disember 2026.
Destinasi baharu ini mempunyai keluasan kira-kira 43,000 kaki persegi dan bakal menempatkan sehingga 39 premis makanan dan minuman.
IPC Gourmet Hall direka untuk menawarkan lebih banyak pilihan makanan dalam satu lokasi, selain menyediakan ruang yang selesa untuk pengunjung menikmati hidangan bersama keluarga dan rakan-rakan.

Pelbagai Jenama Bakal Mengisi IPC Gourmet Hall
Antara jenama yang telah mengesahkan penyertaan ialah Ole-Ole Bali, Paradise Dynasty, Chameleon Restaurant, Bantianyao Grilled Fish, Seven Seas, BaD Scones, Churn Ice Cream, Halla Holla, Furiku dan Anytime Acai.
Kehadiran pelbagai jenama ini dijangka memberikan pilihan yang lebih luas kepada pengunjung, daripada hidangan utama dan sajian berkongsi hinggalah pencuci mulut serta pilihan yang lebih ringan.
Menariknya, beberapa jenama turut bakal memperkenalkan konsep baharu menerusi IPC Gourmet Hall termasuklah Paradise Dynasty yang akan memperkenalkan konsep eksklusif yang berbeza daripada cawangan sedia ada.
Sementara itu, Ole-Ole Bali pula akan membawa konsep baharu yang meraikan kepelbagaian dan tradisi kulinari Bali.

Bukan hanya makanan berat, IPC Gourmet Hall turut bakal menampilkan beberapa pilihan untuk mereka yang mencari kudapan dan pencuci mulut.
BaD Scones mengkhusus dalam scone gaya Inggeris klasik yang dibakar segar, selain membawa konsep sajian British serta misi “Buy and Donate”.
Bagi penggemar ais krim, Churn Ice Cream pula bakal menawarkan ais krim artisanal buatan tangan menggunakan ramuan berkualiti. Jenama tempatan ini turut dikenali dengan penawaran wafel sourdough.

Dengan gabungan restoran, kafe dan pilihan pencuci mulut, IPC Gourmet Hall dirancang untuk memenuhi pelbagai keperluan, sama ada untuk makan tengah hari pada hari bekerja, pertemuan santai bersama rakan-rakan, makan bersama keluarga atau sambutan istimewa.
Dari segi suasana, ruang ini bakal menampilkan konsep yang lebih mesra dengan inspirasi alam semula jadi melalui elemen kehijauan, tekstur semula jadi dan susunan tempat duduk yang fleksibel.