Acer CA1 FreeMove Smart Monitor Dengan Android 14 Kini Di Malaysia Pada Harga Bermula RM2,699
Lina Rosli
Acer Malaysia kini hadir dengan sebuah paparan skrin boleh gerak baharu yang dikenali sebagai Acer CA1 FreeMove Smart Monitor.
Apa yang menarik tentang skrin boleh gerak ini, ia dilengkapi dengan sistem operasi Android 14, selain turut menawarkan pengalaman penggunaan seperti tablet bersaiz besar.

Menurut Acer Malaysia, Acer CA1 FreeMove hadir dalam dua pilihan saiz, iaitu 31.5 inci dan 27 inci, bagi memenuhi keperluan pengguna yang berbeza. Ia juga dilengkapi dengan tapak beroda yang membolehkan pengguna mengalihkannya dari satu tempat ke tempat lain dengan lebih mudah.
Yang membezakan kedua-dua monitor ini adalah dari segi penawaran resolusi yang mana model yang lebih besar, Acer FreeMove CA321QK, hadir dengan skrin berukuran 31.5 inci dan resolusi 4K pada kadar segar semula 60Hz.

Sementara itu, Acer FreeMove CA271 menawarkan skrin 27 inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula 60Hz.
Kedua-dua model menggunakan panel VA (Vertical Alignment) dengan sudut pandangan sehingga 178 darjah.


Dari segi kecerahan, model 31.5 inci menawarkan sehingga 250 nit, manakala model 27 inci pula mencapai 260 nit.
Selain itu, pengguna juga boleh mengubah kedudukan skrin mengikut keperluan – sama ada orientasi mendatar seperti monitor biasa atau dipusing sehingga 90 darjah untuk penggunaan secara menegak.
Bukan sekadar itu, bagi pengguna yang mahu menyambungkan komputer atau komputer riba, Acer CA1 FreeMove turut menyediakan sambungan HDMI. Sementara untuk sambungan secara nirwayar, monitor ini turut menyokong sambungan pada peranti mudah alih iOS dan juga Android.

Untuk ketahanan bateri pula, model 31.5 inci dilengkapi kapasiti 8,550mAh, manakala model 27 inci menggunakan bateri berkapasiti 5,000mAh.
Menariknya, kedua-dua model ini boleh digunakan tanpa disambungkan kepada pengecas sehingga maksimum tiga jam, bergantung pada penggunaan.

Bagi anda yang berminat, Acer Malaysia telah mula menawarkan kedua-dua model Acer CA1 FreeMove di pasaran tempatan. Acer FreeMove CA321QK berukuran 31.5 inci kini dijual pada harga RM3,499.
Sementara itu, Acer FreeMove CA271 berukuran 27 inci kini dibuka untuk pra-tempahan pada harga RM2,699.