Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series Kini Di Malaysia, Harga Bermula RM2.25 Juta
Lina Rosli
Mercedes-Benz Malaysia kini memperkenalkan Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series, sebuah roadster dua tempat duduk yang menggabungkan prestasi sebuah kereta sport dengan kemewahan dan ketukangan eksklusif Maybach.
Model ini merupakan Maybach pertama dalam sejarah yang hadir dengan reka bentuk sepenuhnya terbuka, membolehkan pemandu dan penumpang menikmati pengalaman pemanduan tanpa bumbung.

Untuk pasaran Malaysia, model ini ditawarkan dalam dua pilihan kemasan iaitu Red Ambience dan White Ambience.
Bagi versi Red Ambience, ia menampilkan kemasan Obsidian Black Metallic yang dipadankan dengan MANUFAKTUR Garnet Red Metallic. Bonetnya pula menggunakan warna Obsidian Black Metallic bersama corak Maybach berwarna Graphite Grey Uni.

Sementara itu, versi White Ambience menggabungkan Obsidian Black Metallic dengan MANUFAKTUR Opalite White Magno untuk penampilan yang lebih bersih dan elegan.
Identiti Maybach turut jelas kelihatan pada bahagian hadapan melalui gril radiator berkemasan krom dengan tulisan MAYBACH yang berlampu. Bonet pula menampilkan bintang Mercedes yang berdiri tegak serta kemasan krom di bahagian tengah.

Reka Bentuk Dan Kemasan Pada Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series
Bahagian hadapan turut menampilkan kemasan aksen rose gold pada lampu, manakala bingkai cermin hadapan, kemasan sisi dan beberapa bahagian luaran lain menggunakan kemasan krom.
Roadster ini menggunakan rim tempa 21 inci dengan reka bentuk lima lubang, lengkap dengan angkup brek berwarna perak yang dihiasi tulisan MAYBACH.

Bagi memberikan keselesaan ketika pemanduan tanpa bumbung, model ini dilengkapi soft top berpenebat akustik yang menggunakan fabrik berwarna hitam dengan corak Maybach dalam rona anthracite.
Masuk ke dalam kabin, model ini menggunakan kulit Nappa MANUFAKTUR berwarna Crystal White pada tempat duduk, panel pintu dan konsol tengah.

Tempat duduk pula menampilkan rekaan bunga baharu, manakala bahagian belakangnya dihiasi kemasan galvanis dan aksen krom perak untuk memberikan kontras pada ruang kabin.
Turut melengkapkan kabin ialah kemasan MANUFAKTUR MICROCUT berwarna Crystal White pada bahagian bumbung, selain pedal dan ambang pintu keluli tahan karat dengan tulisan MAYBACH bercahaya.
Teknologi Dan Prestasi Pemanduan
Dari segi teknologi, Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series dilengkapi paparan instrumen digital 12.3 inci dan skrin tengah boleh laras elektrik berukuran 11.9 inci. Kedua-duanya turut menampilkan animasi permulaan serta gaya paparan khusus MAYBACH.
Antara ciri lain termasuk stereng pelbagai fungsi berbalut kayu dan kulit, sistem bunyi Burmester High-End 3D Surround Sound, paparan head-up, permaidani high-pile serta kunci kenderaan berwarna putih berkilat dengan kemasan rose gold.

Untuk pemanduan dengan bumbung terbuka, sistem AIRSCARF menyalurkan udara suam ke bahagian leher dan tengkuk pemandu serta penumpang. Ciri ini membolehkan pengalaman pemanduan terbuka dinikmati dengan lebih selesa walaupun dalam keadaan cuaca lebih sejuk.
Selain itu, Mercedes turut menampilkan sistem ENERGIZING Package Plus pula menggabungkan kawalan suhu tempat duduk, pencahayaan ambien dan tempat duduk pelbagai kontur dengan fungsi urutan.

Bercakap mengenai prestasi pula, Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series dikuasakan oleh enjin 4.0 liter V8 biturbo yang menghasilkan 585 hp (430 kW).
Kuasa tersebut disalurkan melalui transmisi automatik 9G-TRONIC, dengan talaan pedal pemecut yang disesuaikan untuk memberikan tindak balas pemanduan yang lebih lancar.
Bagi meningkatkan pengendalian, model ini dilengkapi stereng gandar belakang yang membantu memberikan keseimbangan antara ketangkasan dan kestabilan. Sistem pembezaan elektronik pada gandar belakang pula membantu mengagihkan kuasa dengan lebih baik bagi mengurangkan gelinciran.
Bukan itu sahaja, ia turut menampilkan sistem suspensi ACTIVE RIDE CONTROL bersama fungsi front axle lift yang boleh menaikkan bahagian hadapan kenderaan sehingga 30 mm. Ciri ini membantu mengurangkan risiko bampar hadapan bergesel dengan permukaan jalan.


Ciri Keselamatan Dan ADAS
Dari aspek keselamatan dan bantuan pemanduan, model ini dilengkapi beberapa ciri untuk membantu memberikan pengalaman pemanduan yang lebih selamat dan mudah. Driving Assistance Package menyediakan pelbagai sistem bantuan pemandu, manakala Parking Package dengan Memory Parking Assist membantu ketika mencari ruang dan melakukan parkir.
Sementara itu, MAGIC VISION CONTROL menggunakan sistem pencuci cermin hadapan yang menyemburkan cecair pencuci terus melalui bilah pengelap, membantu memastikan pandangan pemandu kekal jelas ketika hujan atau cermin kotor.
Model ini turut dilengkapi GUARD 360° Vehicle Protection Plus dengan Digital Extras, yang membantu memantau kenderaan dan memberikan perlindungan tambahan ketika ia ditinggalkan.

Untuk pasaran Semenanjung Malaysia, Mercedes-Maybach SL 680 Monogram Series dianggarkan berharga bermula RM2.25 juta, atas jalan tanpa insurans.
Pelanggan juga boleh melakukan pelbagai pilihan penyesuaian pada bahagian luaran dan dalaman menerusi konfigurator rasmi Mercedes-Benz.