IKEA Kuching Bakal Dibuka Disember 2026, Gedung Pertama IKEA Di Sarawak

August 24, 2026
Pusat Beli-Belah

Lina Rosli

Tahukah anda bahawa IKEA Malaysia bakal membuka IKEA Kuching pada Disember 2026 ini – menjadikannya gedung IKEA pertama di Sarawak dan Malaysia Timur.

Pembukaan ini turut menandakan pengembangan IKEA di Malaysia Timur selepas sebelum ini pelanggan di Sarawak bergantung kepada platform e-dagang dan perkhidmatan pemenuhan pesanan IKEA.

Menariknya, IKEA Kuching akan menjadi gedung berformat kecil pertama IKEA Malaysia.

Walaupun bersaiz lebih kompak berbanding empat gedung IKEA sedia ada di Malaysia, pelanggan masih boleh mendapatkan inspirasi kelengkapan rumah, meneroka penyelesaian untuk kediaman serta mendapatkan pilihan produk IKEA yang lebih luas.

Format ini direka supaya pengalaman membeli-belah menjadi lebih mudah dan praktikal. Pelanggan boleh mendapatkan inspirasi untuk melakukan perubahan kecil di rumah, merancang sesuatu ruang atau mencari kelengkapan untuk kediaman mereka.

Bagi produk terpilih, pelanggan juga boleh membelinya dan membawanya pulang pada hari yang sama.

Selain membawa pengalaman IKEA lebih dekat kepada masyarakat Sarawak, pembukaan IKEA Kuching turut membuka peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.

IKEA Malaysia akan bekerjasama dengan komuniti tempatan bagi membentuk pasukan rakan sekerja di Kuching, dengan tumpuan kepada pembangunan bakat tempatan untuk berkembang bersama syarikat.

Akhir sekali, nantikan pembukaan IKEA Kuching dijangka dibuka kepada orang ramai pada Disember 2026.

Maklumat lanjut mengenai lokasi, tarikh pembukaan rasmi serta aktiviti yang bakal dianjurkan akan diumumkan oleh IKEA Malaysia dalam beberapa bulan akan datang.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd