Lapisan Pâtisserie Memperkenalkan 3 Pastri Baharu Dengan Cita Rasa Malaysia
Lina Rosli
Sempena sambutan Hari Merdeka ke-69, Lapisan Pâtisserie memperkenalkan koleksi pastri baharu yang mengangkat cita rasa tempatan dengan sentuhan moden.
Dikenali dengan sajian pastri bergaya Perancis, Lapisan Pâtisserie menerusi koleksi Malaysian Favourites mengolah beberapa hidangan yang dekat dengan selera rakyat Malaysia menjadi pastri yang lebih moden dan menarik.

Koleksi ini boleh didapati mulai 20 Ogos 2026 dan menampilkan tiga pilihan pastri dengan gabungan rasa yang diinspirasikan daripada makanan tempatan.
Antaranya ialah Kaya Butter Crispy Toast (RM8.50) yang mengetengahkan gabungan kaya dan mentega di dalam pastri bertekstur rangup dan berlapis.
Pilihan ini mengambil inspirasi daripada sarapan kaya toast yang sememangnya cukup sinonim dengan rakyat Malaysia.

Seterusnya, Pandan Coconut Tart (RM16) pula menawarkan rasa pandan dan kelapa dalam bentuk tart.
Ia menggabungkan inti nanas dan kelapa bersama krim pandan serta coklat putih kelapa untuk menghasilkan rasa yang lebih berkrim.

Bagi penggemar hidangan yang lebih mengenyangkan, Chicken Rendang Mille Feuille (RM12.50) menggabungkan ayam rendang dan pulut kuning dengan pastri mille feuille yang ringan dan berlapis.

Tawaran Istimewa 31 Ogos – Pastri Kedua Pada Harga Hanya RM6.90
Selain memperkenalkan koleksi Malaysian Favourites, Lapisan Pâtisserie turut menawarkan promosi khas sempena sambutan Merdeka ke-69.
Pada 31 Ogos 2026 sahaja, pelanggan boleh mendapatkan pastri kedua pada harga RM6.90.
Tawaran ini boleh dinikmati di semua cawangan Lapisan Pâtisserie di Malaysia untuk pembelian dine-in atau takeaway. Promosi sah sepanjang hari dan terpakai untuk semua pilihan pastri, tertakluk kepada stok yang tersedia.