Kluang RailCoffee Kini Sudah 88 Tahun – Bermula Sebagai Kluang Railway Station
Lina Rosli
Selepas 88 tahun menjadi sebahagian daripada sejarah makanan dan budaya Kluang, Kluang RailCoffee kembali ke tempat asalnya di Kluang Railway Station untuk meraikan ulang tahun ke-88 bersama komuniti.
Bersempena ulang tahun yang istimewa ini, Kluang RailCoffee menganjurkan Community Appreciation Breakfast serta menyumbang RM88,000 kepada National Cancer Society of Malaysia (NCSM) sebagai tanda penghargaan kepada komuniti yang telah menyokong perjalanan mereka sejak 1938.
Bagi yang tidak mengetahui, Kluang RailCoffee mula beroperasi di Kluang Railway Station pada tahun 1938.
Sejak itu, kopitiam yang sinonim dengan sejarah kereta api dan bandar Kluang ini terus berkembang sehingga mempunyai 12 cawangan di seluruh Malaysia.

Ulang tahun ke-88 kali ini membawa mereka kembali ke lokasi asal, iaitu tempat di mana perjalanan Kluang RailCoffee bermula hampir sembilan dekad lalu.
Bagi Kluang RailCoffee, angka 88 bukan sekadar menandakan usia perniagaan, tetapi turut mencerminkan perjalanan yang dibentuk oleh generasi pelanggan, pekerja, rakan niaga dan komuniti setempat.
Sebagai sebahagian daripada sambutan, Kluang RailCoffee mengadakan Community Appreciation Breakfast dari jam 8 pagi hingga 11 pagi di cawangan asalnya di Kluang Railway Station.
Bukan itu sahaja, bagi meraikan sejarahnya, Kluang RailCoffee turut menggunakan sambutan ulang tahun ke-88 mereka ini dengan memberi kembali kepada masyarakat.

Sebanyak RM88,000 disumbangkan kepada National Cancer Society of Malaysia (NCSM) menerusi kempen Laksa Johor Fundraising Campaign.
Kempen tersebut mempunyai makna tersendiri buat keluarga Kluang RailCoffee. Laksa Johor yang diperkenalkan ke dalam menu mereka merupakan hasil idea seorang kakitangan yang kemudiannya meninggal dunia selepas bertarung dengan kanser.
Bagi mengenang jasanya, Kluang RailCoffee menjadikan hidangan tersebut sebagai sebahagian daripada kempen kutipan dana untuk menyokong usaha NCSM membantu rakyat Malaysia yang terkesan akibat kanser.

Dari Kluang Railway Station Ke Seluruh Malaysia
Tahukah anda bahawa Kluang Railway Station merupakan antara kopitiam kereta api tertua di Malaysia?
Daripada sebuah kopitiam yang beroperasi di stesen kereta api, Kluang RailCoffee kini terus membawa citarasa dan pengalaman kopitiam warisan kepada pelanggan di seluruh negara.
Sambutan ulang tahun ke-88 ini bukan sahaja meraikan perjalanan panjang Kluang RailCoffee, tetapi turut menzahirkan bagaimana sebuah jenama tempatan dapat berkembang bersama komuniti yang telah memberikan sokongan selama beberapa generasi.