Kadar Perceraian Di Malaysia Meningkat, Isu Kewangan Antara Konflik Utama Dalam Perkahwinan

August 26, 2026
Gaya Hidup

Lina Rosli

Apabila bercakap tentang mencari pasangan hidup, ramai mungkin sudah mempunyai senarai kriteria tersendiri.

Ada yang mengutamakan pekerjaan, pendapatan, penampilan atau gaya hidup, tetapi satu perkara yang sering kurang diberi perhatian ialah keserasian dalam menguruskan kewangan.

Menurut Lunch Actually, sebuah agensi mencari jodoh di Asia, kestabilan kewangan sememangnya menjadi antara perkara yang penting bagi individu yang sedang mencari pasangan.

Namun, pendapatan yang tinggi tidak semestinya bermaksud seseorang itu mempunyai keserasian kewangan dengan pasangannya.

Malah, perbezaan cara melihat dan menguruskan kewangan boleh menjadi antara perkara yang memberi tekanan kepada sesebuah hubungan dalam jangka panjang.

Kadar Perceraian Di Malaysia Meningkat

Di Malaysia, sebanyak 190,304 perkahwinan direkodkan pada tahun 2024. Pada tahun yang sama, sebanyak 60,457 perceraian turut direkodkan, meningkat 4.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Peningkatan tersebut menjadikan kadar perceraian kasar Malaysia berada pada 1.8 bagi setiap 1,000 penduduk.

Menurut Violet Lim, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama Lunch Actually, keadaan ini menunjukkan pentingnya pasangan berbincang tentang perkara asas dalam kehidupan sebelum membuat keputusan untuk berkahwin.

Antara perkara yang sering dianggap sudah difahami bersama ialah kewangan, sedangkan cara seseorang berbelanja, menyimpan dan melihat tanggungjawab kewangan boleh berbeza dengan ketara.

Gaji Tinggi Tidak Semestinya Bermaksud Serasi Dari Segi Kewangan

Mempunyai pasangan yang berpendapatan tinggi mungkin kelihatan ideal dan serasi – namun hakikat sebenarnya jumlah pendapatan bukan satu-satunya perkara yang menentukan kestabilan kewangan dalam rumah tangga.

Hal ini kerana, dua individu dengan pendapatan yang tinggi masih boleh berdepan konflik jika seorang gemar berbelanja manakala seorang lagi lebih mengutamakan simpanan.

Begitu juga jika kedua-duanya mempunyai pandangan berbeza tentang hutang, pelaburan, gaya hidup atau tanggungjawab terhadap keluarga.

Sebaliknya, pasangan dengan pendapatan sederhana juga boleh membina kehidupan yang stabil sekiranya mereka mempunyai pandangan yang sama tentang cara menguruskan kewangan.

Oleh itu, perbincangan antara pasangan bukan sekadar ‘berapa banyak pendapatannya?’. Sebaliknya, ia lebih kepada ‘apa yang dilakukan dengan wang tersebut dan adakah ia selari dengan cara saya melihat kewangan?’

Konflik Tentang Wang Ringgit Boleh Menjejaskan Rumah Tangga

Perkara ini turut disokong oleh kajian jangka panjang mengenai hubungan dan kewangan.

Kajian terhadap lebih 4,500 pasangan oleh Jeffrey Dew dan Sonya Britt mendapati bahawa perselisihan berkaitan wang merupakan antara peramal paling kuat kepada perceraian, malah mengatasi beberapa konflik lain seperti isu anak, keluarga mentua dan kerja rumah.

Bukan terhenti di situ sahaja, konflik mengenai kewangan juga didapati boleh berlangsung lebih lama dan menjadi lebih tegang berbanding sesetengah konflik rumah tangga yang lain.

Ini menunjukkan bahawa isu kewangan bukan sekadar berkaitan jumlah pendapatan, tetapi turut melibatkan cara pasangan berkomunikasi dan membuat keputusan bersama.

Elakkan Menetapkan Terlalu Banyak Kriteria Dalam Memilih Pasangan

Dalam dunia temu janji moden, tidak salah untuk mempunyai kriteria tertentu ketika mencari pasangan.

Namun, terlalu banyak syarat yang dianggap wajib juga boleh menyebabkan seseorang semakin sukar mencari pasangan yang sesuai.

Lunch Actually merujuk perkara ini sebagai Checklist Fatigue, iaitu keadaan apabila seseorang mempunyai terlalu banyak kriteria sehingga hampir setiap calon akhirnya dianggap tidak memenuhi syarat.

Sebagai contoh, seseorang mungkin menetapkan syarat tertentu dari segi pekerjaan, pendapatan, ketinggian, penampilan, gaya hidup dan pelbagai perkara lain.

Apabila terlalu banyak kriteria dijadikan syarat wajib, seseorang mungkin terlepas pandang ciri yang sebenarnya lebih penting dalam hubungan jangka panjang.

Apa Yang Lebih Penting Daripada Gaji Dan Status?

Menurut kajian, individu yang sedang mencari pasangan boleh mempertimbangkan beberapa perkara yang lebih berkait dengan kehidupan jangka panjang.

#1 Utamakan Nilai, Bukan Sekadar Pilihan Peribadi

Antara perkara yang boleh diperhatikan ialah cara seseorang menangani konflik, mengambil tanggungjawab, berkomunikasi dan membayangkan kehidupan pada masa hadapan.

Salah satu cara mudah untuk menilai sesuatu kriteria ialah bertanya kepada diri sendiri: Jika ciri ini tiada, adakah hubungan tersebut masih boleh berjalan dengan baik?

Jika jawapannya ya, mungkin perkara itu lebih sesuai dianggap sebagai pilihan berbanding syarat wajib.

#2 Bincangkan Cara Menguruskan Wang

Daripada hanya bertanya tentang jumlah gaji, pasangan boleh berbincang tentang perkara yang lebih praktikal.

Sebagai contoh, anda boleh bertanyakan kepada pasangan soalan-soalan seperti:

  • Apakah matlamat simpanan pasangan?
  • Bagaimana persepsi pasangan tentang hutang?
  • Berapa banyak yang sanggup dibelanjakan untuk gaya hidup?
  • Bagaimana pula dengan tanggungjawab terhadap ibu bapa dan keluarga?

Perbincangan sebegini dapat membantu pasangan memahami nilai dan tabiat kewangan masing-masing sebelum hubungan menjadi lebih serius.

#3 Lihat Tahap Kesediaan Emosi

Pendapatan dan pekerjaan mungkin memberikan gambaran tentang kehidupan seseorang, tetapi ia tidak semestinya menunjukkan bagaimana mereka akan hadir dalam sebuah hubungan.

Konsistensi, komunikasi, kehadiran dan kebolehpercayaan juga penting dalam kehidupan seharian.

Persoalannya bukan sekadar “Apakah pekerjaan dia?”, tetapi “Adakah dia akan berada di sisi saya apabila kehidupan tidak berjalan seperti yang dirancang?”

Akhir sekali, pendapatan, pekerjaan dan gaya hidup mungkin menjadi sebahagian daripada pertimbangan, tetapi apabila hubungan memasuki kehidupan sebenar, perkara seperti cara menguruskan wang, menyelesaikan konflik, berkomunikasi dan saling menyokong yang lebih banyak memainkan peranan.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd