PROTON S70 Lite & Prime Diperkenalkan, Harga Bawah RM60,000

September 7, 2026
Automotif

Lina Rosli

PROTON memperluaskan rangkaian PROTON S70 dengan memperkenalkan dua varian baharu iaitu S70 Lite dan S70 Prime.

Kedua-dua varian ini menggunakan enjin i-GT 1.5 liter yang dipadankan dengan transmisi boleh ubah berterusan (CVT).

Menariknya, harga bagi kedua-dua model ini dianggarkan di bawah RM60,000, menjadikan S70 lebih mudah dimiliki oleh mereka yang mencari sedan dengan ciri lengkap pada harga lebih mampu milik.

Walaupun hadir sebagai varian baharu, S70 Lite dan S70 Prime masih mengekalkan kelebihan utama S70 dari segi ruang dan keselesaan.

Kedua-duanya menawarkan ruang kabin yang luas, termasuk ruang bahu yang lebih besar untuk penumpang di bahagian belakang. Lantai belakang yang hampir rata juga memberikan lebih banyak ruang untuk kaki, selain membolehkan tiga penumpang duduk dengan lebih selesa.

Untuk menambah keselesaan, kedua-dua varian dilengkapi tempat duduk kemasan kulit serta panel instrumen dengan kemasan lembut.

Selain itu, PROTON turut mengekalkan sistem PROTON Ride and Handling serta tiga mod pemanduan yang boleh dipilih mengikut keadaan dan gaya pemanduan.

Seterusnya, kedua-dua PROTON S70 Lite dan Prime ini turut dilengkapi dengan sistem inforia Android Auto dan Apple CarPlay secara nirwayar, yang membolehkan pengguna menghubungkan telefon pintar ke sistem hiburan kenderaan dengan lebih mudah.

Dari segi teknologi, kedua-dua varian juga dilengkapi Electric Parking Brake (EPB) dengan Auto Brake Hold, Remote Engine Start, lima port USB serta fungsi Auto Up/Down dan Anti Trap untuk semua tingkap.

Dengan ciri-ciri ini, pengguna boleh menikmati kemudahan yang lebih baik tanpa perlu bergantung kepada varian lebih tinggi.

Untuk aspek keselamatan pula, kedua-dua varian hadir dengan enam beg udara serta sensor parkir di bahagian hadapan dan belakang.

S70 Lite dan S70 Prime turut dilengkapi Rear Side Radar System yang menyokong beberapa ciri bantuan pemanduan seperti Blind Spot Detection, Lane Change Assist, Rear Cross Traffic Alert, Door Opening Warning dan Rear Collision Warning.

Selain itu, Rear Seat Reminder dan kamera undur turut disediakan sebagai ciri standard.

Bagi yang berminat, tempahan untuk varian baharu PROTON S70 kini dibuka di semua cawangan sah PROTON di seluruh negara.

Pelanggan yang membuat tempahan dan mendaftarkan S70 Lite atau S70 Prime sebelum 31 Disember 2026 turut layak menerima ganjaran eksklusif tempahan awal, tertakluk kepada terma dan syarat.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd