MINI Cooper S Oxford Edition Berharga RM289,888, Hanya 6 Unit Ditawarkan Di Malaysia
Lina Rosli
Sempena ulang tahun ke-25 MINI moden, MINI Malaysia memperkenalkan MINI Cooper S Oxford Edition Baharu, sebuah edisi khas yang diinspirasikan daripada hubungan jenama itu dengan Oxford, United Kingdom.
Menurut MINI Malaysia, hanya enam unit sahaja yang ditawarkan di Malaysia, dengan tiga pilihan warna iaitu Chili Red, Indigo Sunset Blue dan Blazing Blue. Manakala, setiap warna pula dihadkan kepada dua unit sahaja.

Bagi yang tidak mengetahui, edisi khas ini mengambil inspirasi daripada Plant Oxford, lokasi pengeluaran MINI moden pertama yang memulakan pengeluaran 25 tahun lalu.
Berbeza daripada MINI Cooper S biasa, model ini hadir dengan beberapa perincian eksklusif pada bahagian luaran dan dalaman yang mengetengahkan identiti British.
Antaranya, pada bahagian luaran, MINI Cooper S Oxford Edition menampilkan grafik Union Jack pada bumbung dan bonet, selain kemasan Union Jack pada bahagian belakang.

Rekaan ini dilengkapkan dengan penutup hab Oxford Edition serta penutup injap yang sepadan, memberikan penampilan yang lebih tersendiri kepada model edisi terhad ini.
Masuk ke ruang kabin, identiti Oxford Edition diteruskan menerusi logo khas pada stereng, kemasan ambang pintu dan karpet lantai dengan perincian Union Jack.
Penutup kunci Oxford Edition turut diberikan sebagai sebahagian daripada kemasan khas model ini.


Dari segi pemanduan, MINI Cooper S Oxford Edition masih mengekalkan karakter Go-Kart yang menjadi antara ciri utama MINI Cooper S.
MINI Lifestyle Oxford Capsule Turut Diperkenalkan
Selain itu, MINI Malaysia turut memperkenalkan MINI Lifestyle Oxford Capsule yang akan tersedia mulai awal Oktober 2026.
Koleksi ini membawa tema Oxford Edition ke dalam barangan harian dan merangkumi MINI Traveller Bag, kemeja-T uniseks, topi, pelekat MINI Oxford serta MINI Umbrella Walking Stick.
MINI Malaysia Menawarkan MINI Roadside Assistance
Dari aspek pemilikan, MINI Cooper S Oxford Edition Baharu dilindungi dengan program MINI Roadside Assistance selama lima tahun.
Perkhidmatan ini menawarkan bantuan 24 jam, 365 hari setahun termasuk bantuan di lokasi, perkhidmatan tunda serta kemudahan mobiliti tertentu sekiranya berlaku kecemasan.

MINI turut menawarkan pakej MINI Repair & Service Inclusive, selain kemudahan MINI Service Online yang membolehkan pelanggan membuat janji temu servis secara dalam talian dengan Pusat Pengedar Sah MINI pilihan mereka.
Di Malaysia, MINI Cooper S Oxford Edition ini ditawarkan pada harga bermula RM289,888. Manakala harga bersama Pakej MINI Repair & Service Inclusive ialah RM300,288.